"Showcase 'Back to Basic' Misha Omar: Persembahan Solo Dinanti Selepas 3 Tahun"



Oleh: Norazni Ismail.

PETALING JAYA - Penyanyi popular Misha Omar bakal mengadakan persembahan solo intimate bertajuk "Misha Omar Back To Basic Showcase" di Odeum at JioSpace, Petaling Jaya pada 21 Disember ini.

Persembahan yang akan berlangsung selama 90 minit itu merupakan penampilan solo pertama penyanyi tersebut selepas tiga tahun membuat persembahan di Istana Budaya pada 2021.

"Sebagai penghibur yang sudah dua dekad berada dalam belantika muzik malah masih mampu kekal relevan, bohong jika saya katakan tidak punya mimpi mengadakan konsert besar-besaran.

"Namun saya suka untuk memulakan sesuatu dengan langkah kecil sebelum mencetak sejarah yang lebih besar," kata Misha, 42, yang popular dengan lagu 'Masihkah Ada Rasa Itu'.

Showcase yang dianjurkan Double M Productions ini akan diiringi oleh sembilan pemuzik di bawah pimpinan pengarah muzik, Ayop Azril. Turut terlibat adalah Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal, Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert dan Simon Khoo sebagai pengarah teknikal.

Misha memberitahu, konsep "back to basic" yang dipilih mempunyai signifikan tersendiri apabila beliau akan membawa peminat mengimbau kembali perjalanan kariernya sejak tahun 2002.

"Saya akan membawa peminat pulang ke saat seorang Misha Omar baru mahu mencetak nama sebagai penyanyi selepas pertama kali mengikat kontrak bersama syarikat rakaman besar.

"Bagaimana saya sangat menghargai momen menyanyi di pentas kecil seperti Planet Hollywood dan menyanyikan tembang-tembang milik penghibur lain yang telah memberi saya kepercayaan dan inspirasi untuk terus berkarya," jelasnya.

Tiket showcase ini akan mula dijual pada 27 November 2024, pukul 10 pagi melalui platform JIOTIX dengan harga bermula dari RM288 hingga RM488. Kategori VIP turut menawarkan sesi bergambar bersama penyanyi tersebut.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian WhatsApp +6011-51003111 atau e-mel ask@jiotix.asia.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan