“TEGAP BERDIRI” buah tangan Aizat Amdan
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 13 NOVEMBER 2024 - Penyanyi Aizat Amdan kembali dengan single terbaharu "Tegap Berdiri" sambil mengejutkan peminatnya dengan penglibatan dalam sukan Muay Thai.
Aizat yang telah menjalani perlawanan Muay Thai amatur pertamanya pada 12 Oktober lalu mendedahkan bahawa minatnya terhadap sukan ini bermula sejak 2015.
Single "Tegap Berdiri" yang dihasilkan bersama Mel Ramlan dan Izzy Musa di bawah terbitan Kasi Gegar Entertainment (KGE) ini menggabungkan genre pop dengan pengaruh 'City Pop' Jepun 80-an yang disesuaikan dengan gaya tersendiri yang digelarnya 'KL-City Pop'.
Lagu yang mengambil masa setahun untuk disiapkan ini membawa mesej tentang pasang surut kehidupan dan kepentingan untuk terus bangkit walaupun menghadapi kegagalan. Idea awal lagu ini tercetus semasa sesi rakaman "Dari Studio Podcast" ketika membincangkan zaman kegemilangan bola sepak negara.
Video muzik single ini menampilkan perjalanan Aizat dalam sukan Muay Thai, dari sesi latihan hingga ke perlawanan pertamanya.
"Tegap Berdiri" kini boleh dimuat turun di iTunes dan platform penstriman digital, manakala video muziknya boleh ditonton di saluran YouTube OfficialAizatAmdan.
Comments
Post a Comment