3 Dekad Bersama Datuk Nora: Perjalanan Seni Yang Gemilang
Oleh: Norazni Ismail.
PETALING JAYA 19 DISEMBER 2024 - Setelah 30 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanah air, penyanyi kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang yang bersuara lunak, Datuk Wan Norafizah Dato' Haji Wan Ariffin atau lebih dikenali sebagai Datuk Nora Ariffin, akhirnya merealisasikan impiannya untuk mengadakan konsert solo pertama bertajuk 'Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin ~ 30 Years Journey'.
Konsert yang berlangsung pada 18 Disember di Stage 1 Theatre, PJ Pac, 1 Utama E, Petaling Jaya telah berjaya menarik kehadiran seramai 700 penonton. Konsert ini dianjurkan oleh syarikat milik Datuk Nora sendiri, Johan Nawawi Sdn Bhd (JNSB) dengan sokongan Kementerian Komunikasi dan Kumpulan MyCreative Ventures melalui program Dana Kandungan Kreatif Persembahan Muzik.
Konsert tersebut turut dihadiri oleh Dato' Nasser Abu Kassim, tokoh industri muzik yang bertanggungjawab membawa Nora ke Warner Music pada tahun 1994, tiga tahun selepas beliau dinobatkan sebagai Juara Bintang Hiburan Minggu Ini terbitan RTM pada tahun 1991.
Dalam konsert berdurasi dua jam itu, Nora telah mempersembahkan 18 lagu popular daripada keseluruhan albumnya, termasuk hits seperti Di Persimpangan Dilema, Naluri (Hadirlah Kekasih), Sandiwara, Menyemai Cinta Bersamamu, Renungan Terakhir, dan Jentayu. Konsert tersebut turut menampilkan persembahan istimewa duet bersama anaknya, Putri, menerusi lagu Sabar.
Nora juga melahirkan rasa gembira kerana dapat menunaikan hasrat arwah suaminya dengan melantik Jennifer Thompson sebagai Pengarah Persembahan dan Aubrey Suwito sebagai Pengarah Muzik untuk konsert perdana ini.
Comments
Post a Comment