"Bullseye" - Karya Muzik Terbaru The Gadys
Oleh: Norazni Ismail.
PETALING JAYA 12 DISEMBER 2024- Kumpulan muzik pop The Gadys yang terdiri daripada Aznie, Ayunie, dan Thamiera terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri muzik Malaysia dengan melancarkan single terbaru bertajuk "Bullseye". Dihasilkan oleh Romeo dan Shane Kennedy, lagu ini menampilkan perpaduan elemen pop elektronik dan dance dengan lirik yang bermakna, mengangkat mesej tentang ketabahan dan keyakinan dalam mengejar impian.
Kumpulan ini telah mencipta nama dalam industri muzik tempatan melalui beberapa single popular yang berjaya menduduki carta muzik digital. Mereka dikenali dengan penampilan dinamik di pentas dan kemampuan untuk menarik perhatian penggemar melalui persembahan bertenaga.
Menurut Aznie, lagu "Bullseye" ibarat permainan dart di mana mereka sentiasa berusaha mencapai sasaran utama, tidak putus asa sekiranya tidak tepat pada mukanya. Ayunie turut menambah bahawa lagu ini merupakan satu cabaran tersendiri kerana berbeza dengan genre muzik sebelumnya, namun mereka berjaya menghasilkannya dengan bantuan cikgu vokal Cikgu Delly dan penerbit Karazey.
Muzik video "Bullseye" digarap dengan teliti, di mana setiap warna dan elemen mempunyai maksud tersendiri. Thamiera menerangkan bahawa setiap set mempunyai cerita simbolik yang berkait rapat dengan tema utama fokus dan pencapaian.
Kini, "Bullseye" boleh didengar di platform penstriman muzik utama seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music. Dengan single ini, The Gadys terus membuktikan kreativiti dan semangat mereka dalam industri muzik tempatan, menghasilkan muzik yang tidak sekadar menghiburkan tetapi turut memberi inspirasi kepada generasi muda.
Comments
Post a Comment