Piotr Lobodzinski Dan Valentina Belotti Juara Cabaran Mendaki KL Tower 2024
![]() |
Piotr Lobodzinski dari Poland dan Valentina Belotti dari Itali masing-masing menang dalam kategori lelaki dan wanita terbuka. |
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 08 DISEMBER 2024- Menara Kuala Lumpur menjadi saksi kepada aksi menakjubkan atlet mendaki menara antarabangsa dalam edisi ke-22 kejohanan bertaraf dunia Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 yang berlangsung hari ini.
Piotr Lobodzinski dari Poland menunjukkan kehebatan dalam kategori Lelaki Terbuka dengan mencatat masa yang mengagumkan iaitu 8 minit 8 saat untuk mendaki 1,608 anak tangga Menara KL. Beliau berjaya menewaskan jaguh tempatan Soh Wai Ching yang mencatat masa 8 minit 16 saat, manakala Lo Ching Chun dari Taiwan mengambil tempat ketiga dengan masa 9 minit 13 saat.
Dalam kategori Wanita Terbuka, Valentina Belotti dari Itali tampil sebagai juara dengan masa 10 minit 18 saat. Atlet dari Kenya, Eunice Nyawira Muchiri menduduki tempat kedua dengan masa 10 minit 38 saat, sementara Le Qing Hua dari China berada di tempat ketiga dengan catatan masa 11 minit 30 saat.
Kejohanan tahun ini mencatat sejarah baharu dengan peningkatan bilangan anak tangga daripada 1,576 kepada 1,608 tangga. Seramai 1,500 peserta dari 15 buah negara berjaya mengharungi cabaran mendaki ke Dek Pemerhatian Menara KL yang terletak pada ketinggian 292 meter.
![]() |
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Nazli Saad ketika memberi ucapan. |
Para pemenang menerima ganjaran lumayan dengan juara kategori Lelaki dan Wanita Terbuka masing-masing membawa pulang RM15,000. Tambahan pula, kejohanan yang mendapat tajaan utama Turkish Airlines ini turut menawarkan hadiah menarik termasuk tiket penerbangan ke Istanbul dan penginapan hotel mewah melalui cabutan bertuah.
Kejayaan penganjuran kejohanan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan antarabangsa dan mempromosikan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat tempatan dan global.
Comments
Post a Comment