SOMA LANCAR ALBUM 'PERJALANAN', HASIL KARYA DUA KOMPOSER BERSAUDARA



Oleh: Norazni Ismail.

KUALAL LUMPUR 26 DISEMBER 2024- Penyanyi baharu, Rosmah S.Sengari atau lebih dikenali sebagai Soma, telah melancarkan album sulung beliau yang bertajuk 'Perjalanan'. Album ini merupakan kolaborasi istimewa yang mengetengahkan karya dua komposer bersaudara - Allahyarham S.Atan dan Belle Fatah.

Soma, yang merupakan anak kelahiran Selangor, menyifatkan album ini bukan sahaja sebagai hadiah peribadi, tetapi juga sebagai buah tangan untuk seluruh rakyat Malaysia. Album 'Perjalanan' mengandungi lima buah lagu, dengan tiga daripadanya merupakan karya asli Allahyarham S.Atan, manakala dua lagi adalah hasil gubahan semula Belle Fatah daripada karya asal Din J.

Perjalanan kerjaya Soma dalam industri muzik bermula sejak berusia 13 tahun. Beliau pernah mencatatkan beberapa pencapaian membanggakan, antaranya menjadi naib juara Pertandingan Bintang Nostalgia Klasik Nasional RTM 2009 dan juara Bintang Klasik RTM 2010 mewakili Selangor.

Pertemuan semula Soma dengan dunia rakaman berlaku secara tidak disengajakan semasa Konsert Makan Malam Amal Legends di Dewan Perdana Felda Kuala Lumpur, di mana beliau bertemu dengan penerbit Belle Fatah. Pertemuan tersebut membawa kepada penghasilan album 'Perjalanan'.


Album ini turut mempunyai dua lagu ciptaan Allahyarham S.Atan yang masih belum dirakamkan, iaitu 'Kerlipan Langit Lebaran' dan 'Bisikkanlah Kekasih', yang dijadualkan akan dirakamkan pada masa akan datang sebagai sebahagian daripada usaha melestarikan legasi seni Allahyarham.

Senarai lagu dalam album 'Perjalanan' yang dihasilkan oleh Allahyarham S.Atan termasuk lagu bertajuk 'Perjalanan' (lirik oleh Soma), 'Memori Bulan Disember' (lirik oleh Siso Kopratasa), dan 'Bebaskan Aku' (lirik oleh Siso Kopratasa). Manakala dua lagu hasil gubahan Belle Fatah dari karya asal Din J ialah 'Curahan' dan 'Dugaan', dengan lirik oleh Din J dan Soma.

Soma melahirkan harapan agar album sulungnya ini dapat diterima baik oleh peminat muzik tanah air dan mendapat sambutan menggalakkan daripada para pendengar.



Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan