ALYPH Lancar Album 'The Storm', Angkat Kisah Peribadi Dalam Karya Terbaru
![]() |
"Kekhuatiran saya lebih terasa setiap kali di pentas menyanyikan kisah peribadi"..kata Alyph. |
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 17 Januari 2025 - ALYPH, figura seni ikonik tanah air yang dikenali sebagai penyanyi, penulis lagu, komposer, dan penerbit muzik, bakal melancarkan album terbarunya bertajuk 'The Storm' pada 24 Januari 2025. Pengumuman ini dibuat semasa sesi pra dengar album yang berlangsung di Maveriq Studio, Petaling Jaya, hari ini.
Album yang merangkumi 12 buah lagu ini merupakan refleksi pengalaman peribadi ALYPH, mengupas tema-tema seperti kemegahan diri, kasih sayang, dan penderitaan. Artis yang bernaung di bawah Universal Music Malaysia, Singapura dan Indonesia serta Def Jam Recordings Asia Tenggara (SEA) ini menyifatkan 'The Storm' sebagai cerminan evolusi dirinya sebagai penglipur lara.
"Judul The Storm tercetus secara rawak dan ia paling tepat mewakili muzik saya. Kita tidak mampu menduga ribut yang melanda membawa apa, bila akan surut, dan apa yang berlaku dalam setiap lapisan berbeza di langit," jelas ALYPH kepada lebih 120 ahli media, artis, dan peminat yang hadir.
![]() |
Alyph ketika sesi pra dengar album. |
Album ini turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama penyanyi ikonik Ziana Zain dalam lagu "Gerak" dan "Teman", serta GARD, bakat muda hip-hop tempatan dalam lagu "Sorok Muka". Antara lagu-lagu lain yang bakal dimuatkan dalam album ini termasuklah "Red Flags", "Saham Naik", "Birthday Girl", "The Line", "Bestfriend Part 2", "Mekar", "Dari Jauh", "Siapa Yang Ajar?", dan "Ingat".
ALYPH mengakui bahawa proses penghasilan album ini mencabar, terutamanya bagi lagu "Ingat" dan "Gerak" yang memerlukan pertarungan emosi yang mendalam. "Kekhuatiran saya lebih terasa setiap kali di pentas menyanyikan kisah peribadi. Sepertinya hidup saya dirungkai secara terbuka," tambahnya.
Sebelum pelancaran rasmi, ALYPH telah memperkenalkan lagu "Saham Naik" semasa siri jelajah Uni-Verse 2024 di beberapa universiti tempatan termasuk UTEM, UUM, dan UPSI pada November lalu.
Comments
Post a Comment