PERTEMBUNGAN LAGENDA: CROMOK & AMUK BERGABUNG TENAGA
![]() |
Vokalis Amuk, Bandi, mendedahkan bahawa idea untuk berkolaborasi dengan Cromok sudah lama terlintas di fikirannya. |
KUALA LUMPUR 28 JANUARI 2025- Dua gergasi rock tanah air, Cromok dan Amuk bakal mencipta sejarah apabila berganding bahu dalam Konsert Kasi Gegar! yang akan berlangsung di N9 Arena Nilai, Negeri Sembilan pada 26 April 2025.
Konsert yang dijadualkan bermula jam 9 malam ini merupakan kali pertama kedua-dua kumpulan ini digabungkan di atas satu pentas. Cromok, yang ditubuhkan pada 1987, dikenali sebagai perintis muzik thrash metal Malaysia, manakala Amuk yang muncul pada 1998 telah menggemparkan industri muzik tempatan dengan gabungan genre rock dan metal mereka.
Menurut Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Encik Mohd Agmeer Hj Farouke, konsert ini turut mencatat sejarah sebagai persembahan pertama di N9 Arena Nilai selepas venue tersebut menjalani proses naik taraf. Venue ini yang dahulunya dikenali sebagai Stadium Tertutup Nilai, kini telah dinaiktaraf untuk menampung pelbagai acara termasuk konsert.
![]() |
Pengarah Eksekutif YNS Event Management, Encik Mohd Agmeer Hj Farouke (tengah) ketika menjawab soalan media. |
Vokalis Amuk, Bandi, mendedahkan bahawa idea untuk berkolaborasi dengan Cromok sudah lama terlintas di fikirannya. Beliau menyatakan bahawa dalam album pertama Amuk, Tanpa Prejudis, terdapat enam hingga tujuh lagu Cromok yang telah dirakam semula dalam versi Melayu. Untuk konsert ini, Bandi merancang untuk membawa Metal Bugis sebagai pemain gitar tambahan yang akan bergandingan dengan Metal Jawa, Din Taring dan Budu Siam.
![]() |
Kumpulan Amuk. |
Karl @ Anuar, pemain gitar Cromok, menyatakan bahawa walaupun mereka tidak pernah terfikir untuk bergandingan dengan Amuk sebelum ini, mereka bersetuju kerana melihat potensi kolaborasi yang menarik, terutamanya duet antara Sam (vokalis Cromok) dan Bandi. Beliau juga menegaskan bahawa gandingan ini tidak akan berulang pada masa hadapan.
![]() |
Kumpulan Cromok. |
Tiket konsert ini dijual pada harga bermula RM118 untuk kategori berdiri hingga RM488 untuk kategori GS. Penjualan tiket telah bermula sejak 24 Januari 2025 dan boleh dibeli melalui portal n9arena.ubertickets.asia. N9 Arena Nilai dipilih sebagai lokasi konsert kerana kedudukan strategiknya yang tidak jauh dari Kuala Lumpur, serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tempat letak kereta yang luas dan surau.
Comments
Post a Comment