Arish Mikael Lancar Single Baharu 'Antara Puisi dan Rautmu'
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 14 Februari 2025 - Selepas kejayaan single pertamanya 'Nurkilanmu', penyanyi dan pencipta lagu kelahiran Johor, Arish Mikael, bakal melancarkan single terbarunya bertajuk 'Antara Puisi dan Rautmu' pada 21 Februari ini.
Single terbitan Luncai Emas ini mengetengahkan kisah cinta dari perspektif seorang seniman, digarap dengan pendekatan pop yang diselit dengan semangat rock and roll. Lagu ini pada asalnya dicipta ketika zaman persekolahan Arish dan pernah dilancarkan sebagai demo di YouTube secara DIY.
"'Puisi' dalam lagu ini menjadi simbolik jiwa seni yang terinspirasi oleh keindahan, dan 'Raut' pula bukan hanya tentang paras rupa," jelas Arish yang memberi ruang kepada pendengar untuk mentafsir maksud lagu ini mengikut pemahaman masing-masing.
Versi studio terkini lagu ini dihasilkan dengan kerjasama penerbit utama Hidayat Pitahat, serta bantuan Izzat Ramayan dan Falig Mohd selaku jurutera bunyi. Arish mengakui pengalaman bekerja dengan profesional industri membuka matanya kepada perspektif baharu dalam penghasilan muzik.
Berasal dari keluarga sederhana, Arish yang dipengaruhi oleh legenda seperti P. Ramlee, Mamat Khalid dan kumpulan Search memulakan perjalanan muziknya sejak kecil dengan menjadikan drum sebagai alat muzik pertamanya.
"Saya pilih untuk menerima apa sahaja reaksi orang ramai. Harapan saya, lagu ini memberi semangat kepada diri saya dan semua yang mendengar untuk terus berjuang dalam seni dan muzik," tambah Arish.
'Antara Puisi dan Rautmu' akan boleh didapati di semua platform digital mulai 21 Februari 2025, beserta visualizer yang akan dilancarkan di YouTube.
Comments
Post a Comment