Mahkamah Bebaskan Penceramah dari Tuduhan Kes Pelaburan Palsu

Muzzamil Soliheen Musa, 48, dibebaskan daripada pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.


Kenyataan media.

SEREMBAN, 28 FEBRUARI 2025 - Sujud syukur menyambut keputusan Mahkamah Sesyen Seremban, di sini, hari ini, yang melepas dan membebaskan seorang penceramah bebas, Muzzamil Soliheen Musa, 48, daripada pertuduhan menerima deposit tanpa lesen.

Ia adalah kes ketiga daripada empat pertuduhan yang dihadapi personaliti ini, membabitkan jumlah keseluruhan RM187,000 sebagai deposit tanpa lesen untuk tujuan pelaburan sejak 2019 hingga 2021 di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

“Alhamdulillah, tiada yang selayaknya untuk saya ucapkan kecuali menyambut keputusan mahkamah ini dengan sujud syukur sesudah melalui tempoh yang sukar selama lebih dua tahun ini,” kata Muzzamil, merujuk keputusan mahkamah.

“Pagi ini buat saya sebak, antara gembira dan terharu, ditambah kerana keputusan ini hadir menjelang umat Islam seluruh dunia akan mula berpuasa, menjadikan Ramadan ini cukup bermakna buat saya.”

Penceramah kelahiran Kedah ini menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta yang sama.

Mahkamah tadi melepas dan membebaskannya daripada dakwaan menerima deposit tanpa lesen daripada Mohd Nor Akmal Kamaroll Zaman sebanyak RM10,000 sebagai satu pelaburan. Kes telah didengar di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Dua keputusan mahkamah, sebelum ini, turut memihak kepadanya yang diwakili peguam Mohamed Musthafa daripada Tetuan Momahed Musthafa & Co. Beliau dijangka ke mahkamah pada Jun nanti untuk penyelesaian satu lagi kes.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Seremban, Muzzamil turut dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memperdaya seorang individu dengan memberikan cek tendang sebagai bayaran perkhidmatan fotostat kertas soalan peperiksaan pada 2018.

Muzzamil yang juga seorang penulis buku, dalam kenyataannya kepada media, turut berharap keputusan mahkamah berkenaan dapat membersihkan namanya daripada pelbagai tohmahan dan cacian yang dilemparkan terhadapnya selama ini.

Muzzamil Soliheen Musa bersama peguamnya Mohamed Musthafa daripada (Tetuan Momahed Musthafa & Co).

“Diuji sebegitu rupa, saya tidak pernah berhenti berusaha dan berdoa. Bagi penceramah seperti saya, sudah tentu ia tidak mudah apabila soal agama dilibatkan segelintir pihak yang menimbulkan persepsi buruk sehingga keluarga turut terkena tempiasnya.

“Situasi ini menguji kesabaran kerana bukan saja nama baik saya dan keluarga tercalar, malah turut menjejaskan periuk nasi kami. Ramadan, bagi saya, benar membawa keberkatannya dan semoga sinarnya terus mengiringi langkah saya di masa depan,” tambahnya.

Justeru, beliau tekad untuk terus berjuang, terutama dengan kerja-kerja dakwahnya dan menyifatkan apa yang berlaku sebagai pengalaman bermakna yang akan memperkukuhkan lagi pegangannya.


Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan