Nyoman Paul Kenang Sahabat Melalui Lagu 'Alunan Mimpi'.
Oleh: Norazni Ismail.
Penyanyi Nyoman Paul baru-baru ini telah melancarkan single terbarunya bertajuk "Alunan Mimpi", sebuah persembahan istimewa yang didedikasikan kepada mendiang sahabatnya. Lagu ini tercetus hasil daripada mimpi yang dialami oleh Nyoman Paul tentang sahabatnya yang telah meninggal dunia.
Menurut Nyoman Paul, walaupun mesej dalam mimpi tersebut tidak begitu jelas, beliau mengambil inisiatif untuk menterjemahkannya ke dalam bentuk melodi dan lirik sebagai satu kenangan persahabatan mereka. Single ke-5 ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan lagu hit sebelumnya, "Tunggu Apa Lagi".
"Alunan Mimpi" dihasilkan melalui kerjasama kreatif bersama S/EEK, Rahman Sadli Waraiya, dan Clara Riva di bawah label Universal Music Indonesia. Lagu ini membawa pendengar kembali ke era 2000-an dengan nuansa muzik pop rock yang catchy dan nostalgik. Susunan muziknya yang sederhana namun penuh emosi berjaya mengetengahkan elemen band yang lengkap.
Aspek yang paling menyentuh hati dalam projek ini ialah penglibatan Ni Putu Helena Ayu Waringin (Helena), anak kepada mendiang sahabat Nyoman Paul, dalam video lirik lagu tersebut. Video ini disunting menggunakan rakaman yang diambil oleh ibu Helena, Ni Nyoman Reni Ari Diantini, yang merupakan balu kepada mendiang. Hasil karya You Know Who Film dengan David Christover selaku Director of Photography ini memaparkan kehidupan seharian Helena.
"Saya sengaja mahu melibatkan mereka, Helena dan ibunya. Mereka berdua adalah insan yang kuat, dan saya berharap kekuatan mereka boleh menjadi inspirasi buat kita semua," jelas Nyoman Paul.
Beliau berharap lagu ini bukan sahaja menjadi kenangan indah untuk dirinya dan keluarga mendiang sahabatnya, tetapi juga untuk semua pendengar. "Semoga lagu ini menjadi runut bunyi yang menguatkan serta memberi nostalgia untuk mengenang orang atau perkara yang sudah tiada bersama kita," tambahnya.
"Alunan Mimpi" kini boleh didengari di semua platform muzik digital, manakala video liriknya boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Nyoman Paul
Comments
Post a Comment