Ramadan Menjelang, Konsert Ijmal Cinta Ramadan 2.0 Kembali



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 28 FEBRUARI 2025-Ramadan, bulan seribu rahmat yang dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia, bakal menjelang tiba. Bulan yang menyaksikan penurunan Al-Quran sebagai panduan hidup manusia dan mengandungi malam kemuliaan Lailatul Qadar ini menjadi kesempatan bagi ramai untuk meningkatkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sempena bulan mulia ini, syarikat HS Event & Ent Sdn Bhd sekali lagi tampil dengan penganjuran program tahunan mereka. Selepas kejayaan Konsert Ijmal Cinta Ramadan tahun lalu yang mendapat sambutan menggalakkan, penganjur kini mengumumkan kesinambungan program tersebut dengan Ijmal Cinta Ramadan 2.0 yang akan berlangsung pada 21 Mac di Saloma, Kuala Lumpur.

Program ini akan menampilkan barisan artis terkenal tanah air iaitu Ramlah Ram, Noorshila Amin, Zur Eda, Man Bai, Ameng Spring, Amir Ukays dan Zamani Slam.



Menurut penganjurnya, Datin Hajjah Ismariza dan rakan kongsinya Mubarak Akhtar, konsert ini akan mengetengahkan persembahan bernilai spiritual yang sesuai dengan suasana Ramadan. "Orang ramai yang membeli tiket secara tidak langsung juga turut berpeluang untuk beramal menerusi program ini," jelas mereka.



Acara pada hari tersebut akan bermula dengan tadarus al-Quran dan tazkirah sebelum peserta bersama-sama berbuka puasa. Kemudian, solat Maghrib secara berjemaah akan dilaksanakan, diikuti dengan majlis penyampaian sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim. Selepas solat Isyak dan tarawih, barulah persembahan artis akan bermula.

Penganjur juga tidak melupakan insan seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan. "Pada acara ini juga, kita turut meraikan 10 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kewangan untuk kita berikan sumbangan. Semoga ia dapat membantu meringkan beban mereka menjelang sambutan Aidilfitri," tambah Datin Hajjah Ismariza.

Mengulas berkenaan pemilihan artis, Mubarak berkata, "Selain mempunyai kelompok peminat yang besar, kesudian mereka untuk terlibat dalam program ini juga sesuatu yang luar biasa. Saya percaya peminat setia mereka tidak akan melepaskan peluang hadir ke program tahunan ini."



Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan