SELANGOR FUTURE CUP 2024/2025: LAHIRNYA LAGENDA PERKASA BAKAT MUDA DALAM ESUKAN
![]() |
SMK Kota Kemuning telah muncul sebagai juara pertama kejohanan ini, membawa pulang hadiah berupa biasiswa bernilai RM160,000 tajaan TODAK Academy. |
Oleh: Norazni Ismail.
SHAH ALAM, 24 FEBRUARI 2025 - Majlis Sukan Negeri Selangor dan Pejabat Exco Belia, Sukan & Keusahawanan telah menganjurkan kejohanan MLBB Antara Sekolah Negeri Selangor yang julung kali diadakan, dengan kerjasama Selangor Red Giants (SRG) dan TODAK.
Kejohanan yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 2025 di AEON Mall Shah Alam ini telah dirasmikan oleh YAB Dato' Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Bin Shari, diiringi YB Najwan bin Halimi, Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor. Sebanyak 64 buah sekolah dari seluruh Selangor telah mengambil bahagian dengan penyertaan seramai 384 orang pelajar.
SMK Kota Kemuning telah muncul sebagai juara pertama kejohanan ini, membawa pulang hadiah berupa biasiswa bernilai RM160,000 tajaan TODAK Academy, pembangunan hab esukan bernilai RM30,000, dan wang tunai RM5,000. Naib juara disandang oleh SMK Saujana Utama, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi oleh SMK Seksyen 19 dan SMK Bandar Sunway.
![]() |
SMK Kota Kemuning juara kejohanan bergambar selepas diumum sebagai juara. |
Menurut Timbalan Presiden TODAK, En Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri, kejohanan ini merupakan sejarah bagi TODAK kerana buat pertama kalinya mereka dapat menyumbang dalam bidang pendidikan esukan. Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap potensi besar yang ditunjukkan oleh para peserta dan kemampuan program ini untuk melahirkan lebih ramai atlet profesional pada masa hadapan.
![]() |
En Mohd Ikmal Fareeq Bin Shamsul Bahri (Timbalan Presiden TODAK) ketika menjawab soalan media. |
Kejohanan ini bukan sekadar pertandingan, tetapi juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan bakat muda kepada ekosistem esukan sambil menggalakkan penglibatan komuniti. Program ini juga bertujuan mengenal pasti bakat baharu untuk program pembangunan atlet esukan bagi persiapan SUKMA akan datang.
Selangor Future Cup Lahirnya Lagenda telah mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak, termasuk TODAK Academy yang menaja program Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), AEON Mall Shah Alam sebagai penaja lokasi, dan Moonton Student Leaders (MSL) yang menyumbang tajaan in-app diamonds. Sokongan ini membuktikan komitmen semua pihak dalam memajukan industri esukan dan pembangunan bakat muda di Malaysia.
Comments
Post a Comment