DRAMA RAYA SURIA FM "HAYATI" KETENGAH ISU KESIHATAN MENTAL HASIL KERJASAMA BERSAMA YAYA EMPIRE PERFUME
Oleh: Norazni Ismail.
DAMANSARA 20 MAC 2025- Suria FM dengan kerjasama YAYA Empire Perfume bakal mempersembahkan drama raya 2025 berjudul "Hayati" yang akan ditayangkan pada 20 Mac 2025 di Facebook Suria FM dan YouTube Suria TV bermula jam 12 tengahari.
Drama berdurasi 40 minit ini merupakan drama pertama Suria FM yang mengenengahkan genre 'Psikologi Emosional Raya' dengan fokus terhadap kepentingan pengurusan mental dan emosi. Drama ini mengisahkan perjalanan jiwa beberapa individu yang terlibat dalam kemalangan tragis pada malam raya, memaksa mereka mengharungi proses penyembuhan yang mencabar.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin, "Hayati" merupakan drama raya ketujuh yang diterbitkan oleh Suria FM sejak 2019. Idea dan skrip drama ini telah digarap sejak September 2024 dan mendapat persetujuan Yaya Empire pada November 2024.
Drama ini dibintangi oleh barisan penyampai Suria FM serta pelakon popular seperti Sherie Merlis, Hasnul Rahmat, Cik Man, Anas Ridzuan dan Hawra Jamalullail. Turut menyerikan drama ini ialah penyanyi Ara Johari, Adam ZBP dan pempengaruh popular Mia Azahar, serta kemunculan khas pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa.
Pengasas Yaya Empire Perfume, Puan Nadia Mat Isa berkongsi bahawa beliau tertarik untuk bekerjasama dengan Suria FM kerana komitmen mereka dalam menyampaikan hiburan berkualiti yang sarat dengan nilai murni. Beliau berharap drama ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut memberi impak mendalam kepada penonton dengan mesej kekeluargaan, emosi, kehilangan dan kasih sayang.
"Hayati" merupakan projek terbesar yang pernah dihasilkan oleh Suria FM dari segi skala dan tempoh penggambaran, melibatkan tujuh hari penggambaran di sekitar Lembah Klang. Lebih 100 individu terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam produksi ini. Antara cabaran yang dihadapi termasuklah penggambaran babak bas yang memerlukan tiga hari untuk diselesaikan dan cuaca yang tidak menentu.
Lagu "Pentas Sandiwara" oleh artis Fugo telah dipilih sebagai lagu rasmi drama ini, dengan lirik yang sangat bersesuaian dengan mesej yang ingin disampaikan. Suria FM juga telah menerbitkan muzik video khas bagi lagu tersebut yang berlatarbelakangkan babak dalam drama.
Comments
Post a Comment