FILEM EPIK SEJARAH "6JILAKE" BAKAL MEMBAWA PENONTON KEMBALI KE ZAMAN PENJAJAHAN BELANDA APRIL DEPAN
![]() |
Dr Shasa Aziz (Penerbit Eksekutif) (dua dari kiri) bergambar bersama pelakon 6JILAKE. |
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 12 MAC 2025 - Filem berlatarbelakangkan sejarah tanah Melayu bertajuk "6JILAKE" arahan pengarah veteran Aziz M Osman akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 24 April 2025. Filem yang dinanti-nantikan ini merupakan hasil usaha sama di antara Eartistic Entertainment dan Grand Brilliance Studio dengan Dr Shasa Aziz selaku penerbit, manakala Dr Shasa Aziz bersama Nini Yusof bertindak sebagai penerbit eksekutif.
Berlatar belakang pertengahan abad ke-18 semasa zaman penaklukan Belanda, filem ini mengisahkan tentang usaha syarikat Hindia Timur milik Belanda yang berhasrat memonopoli semua hasil bijih timah di negeri Perak. Dalam usaha menguasai kekayaan bumi Melayu, ketua pegawai Belanda telah mengupah sekumpulan samseng kejam yang dikenali sebagai "6 Jilake" untuk mengawal dan menguasai semua kawasan lombong di negeri tersebut.
Namun begitu, usaha mereka menemui halangan apabila sebuah kampung kecil berjaya bertahan daripada serangan mereka berkat perlindungan seorang pendekar handalan yang menjadi benteng terakhir penduduk kampung. Misi utama kumpulan "6 Jilake" kemudiannya bertukar menjadi satu pertaruhan besar untuk menakluki kampung tersebut pada bila-bila masa kerana dikatakan menyimpan khazanah yang tidak ternilai harganya.
![]() |
Dr Shasa Aziz (Penerbit) ketika memberikan ucapan. |
Menurut sumber dari pihak produksi, filem ini menggabungkan elemen sejarah dan seni mempertahankan diri tradisional Melayu yang akan menjadi daya tarikan utama kepada penonton. Penggambaran telah dijalankan di beberapa lokasi bersejarah di negeri Perak untuk mengekalkan keaslian latar cerita.
Filem "6JILAKE" menampilkan barisan pelakon hebat tanah air termasuk Amerul Affendi dan Bell Ngasri yang akan memimpin jajaran pelakon berbakat seperti Saiful Apek, Asmidar, Kazar Saisi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau, dan turut menampilkan pelakon baharu Laura Olivia.
Pengkritik filem tempatan meramalkan "6JILAKE" bakal menjadi salah satu filem epik sejarah terbaik dalam industri perfileman Malaysia dengan gabungan elemen aksi, sejarah, dan patriotisme yang kuat. Peminat filem bertemakan sejarah dan perjuangan tempatan disaran untuk tidak melepaskan peluang menyaksikan filem ini apabila ditayangkan di pawagam pada April tahun ini.
Comments
Post a Comment