Kolaborasi Istimewa: Sharifah Zarina dan Anak Perempuannya Athalia Hadir dengan 'OOHAA RAYA'



Oleh: Norazni Ismail.

SHAH ALAM 18 MAC 2025 - Selepas kejayaan lagu "40" yang viral di TikTok tahun lalu, penyanyi Sharifah Zarina Wan Hassan kini tampil dengan lagu raya terbaharu bertajuk "OOHAA RAYA".

Tidak seperti kebiasaan, kali ini beliau tidak menyanyikan lagu tersebut secara solo sebaliknya berkolaborasi bersama anaknya, Athalia Dina Buswadi dalam sebuah duet yang dianggap yang pertama dalam industri muzik tanah air melibatkan duet ibu dan anak untuk lagu raya.

"OOHAA RAYA" yang diterbitkan Faithful Music dengan kerjasama Malika Entertainment merupakan karya komposer Eugene Lai dan Ja'a, manakala lirik dihasilkan oleh Ja'a, Eugene Lai serta Sharifah Zarina dan Athalia sendiri.


Sharifah Zarina berkata idea untuk berkolaborasi bersama anaknya tercetus selepas kejayaan lagu "40" dan cadangan daripada komposer Eugene Lai yang turut bertindak sebagai produser lagu tersebut.

Jelasnya, pengalaman merakam vokal bersama anaknya agak berbeza kerana adakalanya beliau terbawa sikap sebagai seorang ibu yang suka berkongsi idea, menegur dan mengajar.

Penggambaran muzik video "OOHAA RAYA" juga dianggap menyeronokkan kerana beliau berpeluang menjayakan siri web sebagai konten tambahan untuk lagu tersebut, apatah lagi beliau kini berminat dalam bidang lakonan terutamanya bergenre komedi.

Menurut Sharifah Zarina, perkataan "OOHAA" itu sendiri diambil daripada bahasa Iban yang bermaksud "Hello" atau "Hai" dan ia digunakan secara meluas di Sarawak. Sebagai anak kelahiran bumi Kenyalang, beliau ingin menyelitkan sesuatu yang mempunyai kaitan dengan budaya di negerinya.

"Apa yang tertera di dalam lirik ini memang 100 peratus berkisar dengan apa yang berlaku tentang diri saya dengan anak-anak saya. Kalau siapa yang mengikuti akaun TikTok saya memang tahu sangatlah dan kisah kami anak beranak memang selalu dapat tontonan tinggi di platform media sosial tersebut," tambahnya lagi.



Sementara itu, Athalia berkata beliau teruja dapat berduet dengan ibunya menerusi lagu "OOHAA RAYA" terutama apabila menyedari bahawa konten mereka anak-beranak amat digemari ramai di TikTok.

"Setidak-tidaknya, ia dapat mengeratkan lagi hubungan kami anak beranak sewaktu bekerja dan pada masa yang sama kami dapat melihat cara kerja masing-masing dan belajar antara satu sama lain," ujarnya.


Produser Eugene Lai pula berkata pada awalnya beliau bersama Ja'a ingin menghasilkan lagu raya yang memiliki elemen keroncong dengan tempo lebih perlahan, namun atas cadangan Sharifah Zarina dan Athalia, tempo lagu dipercepatkan untuk mendapatkan unsur reggae.

Kejayaan sebelum ini menerusi lagu "40" yang viral di TikTok telah mendorong Sharifah Zarina untuk meneruskan momentum kerjaya seninya. Kali terakhir beliau muncul dengan lagu raya solo adalah pada tahun 2017 menerusi lagu "Seiring Gema Takbir" ciptaan Azmeer.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan