Kolaborasi PUBG MOBILE dan MASDO: Menyatukan Nostalgia dengan Pengalaman Permainan Baharu
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 24 MAC 2025 - PUBG MOBILE, fenomena permainan mudah alih global, hari ini mengumumkan kerjasama istimewa dengan sensasi retro-pop Malaysia, MASDO, kugiran di bawah naungan Warner Music Malaysia. Perkongsian kreatif ini menggabungkan bunyi vintaj MASDO yang unik dengan pengalaman permainan versi terbaharu PUBG MOBILE 3.7, sambil meraikan ulang tahun ke-7 permainan tersebut dan pelancaran peta terbesarnya, Rondo.
Majlis pelancaran kerjasama ini telah disempurnakan oleh Dinesh Ratnam, Pengarah Urusan Warner Music Malaysia dan Singapura, bersama Adil Hisham, Pengurus Produk (Malaysia) untuk PUBG MOBILE, dengan kehadiran kumpulan MASDO.
Adil Hisham menyatakan bahawa kerjasama ini membawa nostalgia dan keseronokan kepada pemain. "Kami sangat teruja bekerjasama dengan MASDO dan Warner Music Malaysia untuk membawakan pengalaman imbauan masa lalu yang unik kepada komuniti pemain kami. Kerjasama ini dengan sempurna menangkap semangat dan nostalgia PUBG MOBILE Versi 3.7, menawarkan bunyi retro dengan permainan yang menggembirakan di medan pertempuran," katanya.
Lagu pertama hasil kerjasama ini bertajuk "Bertemu Kembali" telah dilancarkan pada 14 Mac 2025, bersempena dengan Grand Final Liga Super PUBG MOBILE (PMSL) SEA Spring 2025 di IOI Grand Exhibition Centre. Acara kemuncak ini telah menarik hampir 2,000 pengunjung yang menyaksikan pasukan Malaysia berjaya mencapai tempat ke-3 dan ke-5.
"Bertemu Kembali" telah merekodkan lebih 1 juta tontonan di pelbagai platform media sosial dan kini boleh didapati di perkhidmatan penstriman muzik utama seperti Apple Music dan Spotify melalui saluran rasmi MASDO. Video muzik rasmi lagu tersebut pula telah dilancarkan pada 24 Mac 2025.
Kerjasama ini akan diteruskan dengan MASDO dijangka akan menghasilkan lagu kedua untuk PUBG MOBILE menjelang sambutan Merdeka Malaysia pada Ogos 2025. Memenuhi permintaan peminat, MASDO Voicepack yang menampilkan suara Ali, Mawi dan Ceri akan diperkenalkan dalam permainan tersebut. Selain itu, lagu "Bertemu Kembali" akan ditambah secara kekal dan percuma untuk semua pemain PUBG MOBILE.
Pemain disaran untuk menantikan keluaran PUBG MOBILE Versi 3.7: Golden Dynasty yang meraikan Ulang Tahun ke-7 permainan tersebut serta pelancaran Rondo, peta terbesar yang boleh dimainkan setakat ini.
Comments
Post a Comment