KONSERT "HERE I AM" MANIFESTASI KEUTUHAN TIGA DEKAD RATU POP INDONESIA, ROSSA
KUALA LUMPUR, 20 MAC 2025 - Ratu Pop Indonesia, Dato' Sri Rossa Rostlaina bakal mengadakan konsert "Here I Am" di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025 sebagai manifestasi keutuhan hampir tiga dekad perjalanan kariernya dalam industri muzik.
Konsert ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan siri konsert terdahulu iaitu "Rossa 25 Shining Years" pada 2022 dan "Another Journey: The Beginning" (2023) yang telah menarik lebih 80,000 penonton di tiga negara.
Menurut Rossa, konsert "Here I Am" bukan sekadar sebuah persembahan tetapi turut menjadi wadah untuk menggalakkan peminat menghargai dan mencintai diri sendiri. "Secara peribadi, saya ingin mengajak pendengar yang menikmati lagu-lagu nyanyian saya untuk menerima keadaan diri tanpa rasa rendah diri. Sebagai penyanyi, konsert ini menjadi penanda aras perjalanan karier saya dengan merangkumkan lagu-lagu hits, album, pencapaian dan konsert yang telah saya lunaskan sepanjang bergelar anak seni," katanya.
Dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari SAH Entertainment, konsert ini turut mendapat sokongan Maybank sebagai Rakan Perbankan Strategik dan Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur sebagai Rakan Penginapan.
Konsert yang dijangka berlangsung selama tiga jam ini akan menyuntik elemen moden dan ekstravaganza dengan pelbagai segmen yang menjanjikan persembahan mega, segar dan terkini. Rossa turut mengundang rakan artis dari Indonesia dan Malaysia untuk beraksi bersamanya, termasuk Ariel Noah, Ernie Zakri dan MK K-Clique.
"Saya belum pernah berkolaborasi dengan Ernie dan MK, lantas peluang berharga ini amat saya nantikan. Kerjasama ini membuktikan muzik itu tiada sempadan dan pastinya akan ada beberapa lagi kejutan yang bakal memberikan kepuasan luar biasa kepada penonton," tambah Rossa.
Sempena bulan Ramadan, Rossa bersama PRIHATIN telah mengadakan acara Iftar Bersama Dato' Sri Rossa di Ballroom 2, Sunway Putra Hotel. Pada majlis tersebut, mereka turut meraikan anak-anak dari Rumah Bakti Nur Syaheera, Cheras dengan sumbangan pakaian, duit raya dan barangan keperluan harian.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato' Aizuddin Ghazali menyatakan bahawa kerjasama dengan Rossa sejak 2012 bukan sekadar bersifat komersial. Bagi konsert "Here I Am", sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan ke Tabung Kasih Prihatin untuk tujuan pendidikan dan kebajikan.
"PRIHATIN mengalu-alukan pihak korporat dan individu perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep 'Berhibur Sambil Beramal'," ujar beliau.
Tiket konsert "Here I Am" dijual pada harga bermula dari RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center, tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di www.ticket2u.com, manakala tiket korporat boleh diperoleh dengan menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau emel: rossa@yayasanprihatin.com.
Selain di Kuala Lumpur, konsert "Here I Am" turut akan diadakan di Indonesia Arena, Jakarta pada 23 Mei 2025 dan di Singapura pada penghujung tahun 2025.
Comments
Post a Comment