Langkah Proaktif KPDNHEP: Kawalan 23 Barangan Pastikan Kelancaran Sambutan Hari Raya
Oleh: Norazni Ismail.
BANGI 25 MAC 2025- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengumumkan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 yang berkuatkuasa selama 15 hari, bermula 24 Mac hingga 7 April 2025. Inisiatif ini melibatkan pemeriksaan 23 jenis barangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
YB Datuk Armizan bin Mohd Ali, Menteri KPDN, mendedahkan skim ini bertujuan mengawal harga barangan semasa musim perayaan. Pemeriksaan yang dijalankan di Pasaraya Econsave oleh KPDN Selangor, di bawah pimpinan YB Datuk Hj. Rizam bin Hj. Ismail, mendapati kebanyakan premis mematuhi peraturan dan menjual barangan di bawah harga maksimum yang ditetapkan.
KPDN Selangor secara sinergi menjalankan pemeriksaan pematuhan penguatkuasaan SHMMP HRP 2025 di Pasaraya Econsave yang diketuai YB Datuk Hj. Rizam bin Hj. Ismail, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Negeri Selangor. Turut hadir mengelola pemeriksaan ialah Tuan Mohd Zuhairi bin Mat Radey, Pengarah KPDN Selangor dan dibantu oleh Tuan Mohd Khairi bin Jamaludin, Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri. Sejumlah 23 jenis barangan yang terlibat di bawah Skim ini di Negeri Selangor diperiksa pematuhan Skim di bawah penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Selain SHMMP, Program Jualan Rahmah Madani (PURM) turut dilaksanakan dengan 65 lokasi jualan yang dijangka menawarkan sekurang-kurangnya 31 jenis barangan. Pengguna boleh menyemak lokasi jualan melalui media sosial rasmi KPDN Selangor di TikTok @kpdnselangor dan Facebook.
Peniaga yang melanggar skim ini berisiko dikenakan denda sehingga RM100,000 untuk individu dan RM500,000 untuk syarikat. Pengguna digalakkan menyalurkan aduan melalui saluran rasmi seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan, atau Call Centre 1-800-886-800.
Usaha strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor ini bertujuan membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup dan memastikan harga barangan terkawal sepanjang musim perayaan.
Comments
Post a Comment