Program Agihan Makanan Moreh Bersama Kedutaan UAE, Abbe Hae, Putra Amaris dan Team Kongsi Rezeki
KUALA LUMPUR, 20 MAC 2025 – Kedutaan UAE bersama Abbe Hae, Putra Amaris dan Team Kongsi Rezeki telah menganjurkan program agihan makanan moreh untuk golongan gelandangan dan asnaf di kawasan Chow Kit dengan sokongan Zayed Charitable & Humanitarian Foundation (Zayed Foundation).
Program kebajikan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Ramadan yang ditaja oleh Zayed Foundation dan diselaraskan oleh Kedutaan UAE di Kuala Lumpur, sempena Hari Kemanusiaan Zayed yang disambut pada 19 Ramadan setiap tahun untuk mengenang jasa dan dedikasi pengasas UAE, mendiang Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan.
Mr. Ahmed Abdullah AlTakawi, Ketua Jabatan Perkhidmatan Sokongan di Kedutaan UAE yang turut hadir dalam program tersebut menyatakan, "Hari Kemanusiaan Zayed adalah masa untuk memperingati dedikasi pengasas kami terhadap amal jariah dan khidmat kepada masyarakat. Melalui program ini, kami berharap dapat menyokong mereka yang memerlukan, termasuk komuniti asnaf, pelarian, dan gelandangan di Malaysia."
Zayed Foundation telah mengumumkan sasaran untuk mengedarkan 4000 set iftar dan 500 bakul makanan kepada keluarga asnaf serta komuniti pelarian di Malaysia sepanjang Ramadan tahun ini.
Di kawasan Chow Kit, program ini disertai oleh Abbe Hae dan Putra Amaris yang mewakili Team Kongsi Rezeki. Mereka telah menyediakan 250 set makanan berkualiti khas untuk program moreh dan sahur bagi memastikan penerima manfaat menikmati pengalaman makanan yang istimewa.
"Kami ingin memastikan mereka merasa dihargai. Set makanan ini disediakan dengan penuh teliti, supaya kualitinya setaraf dengan hidangan di hotel lima bintang. Kami mahu mereka bukan sahaja kenyang, tetapi juga dapat merasakan nikmat makanan yang sedap seperti mana kita sendiri menikmatinya," kata Putra Amaris.
Beliau menekankan bahawa program ini bukan sekadar agihan makanan semata-mata, tetapi juga bertujuan untuk menjalin hubungan kemanusiaan yang lebih erat. "Bukan hanya soal makanan, tetapi kita juga hadir bersama mereka, menyantuni mereka dengan kasih sayang. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak dilupakan, dan kami bersama mereka, terutama di bulan yang mulia ini," jelasnya.
Putra Amaris turut mengajak masyarakat untuk terus menyokong usaha kebajikan seumpama ini dan mendoakan agar semua pihak yang terlibat diberkati dan diluaskan rezeki mereka.
Program ini menjadi bukti bagaimana kerjasama pelbagai pihak dapat membawa perubahan yang bermakna kepada komuniti yang memerlukan, terutamanya pada bulan penuh keberkatan ini.
Comments
Post a Comment