PROGRAM KONGSI REZEKI TAHFIZ BERSELAWAT 2025 BERLANGSUNG DI WARUNG PAGI PAGI KUALA LUMPUR
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR, 15 MAC 2025 - Program Kongsi Rezeki: Tahfiz Berselawat 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Warung Pagi Pagi, Federal Hill pada hari ini. Program berbuka puasa amal bertemakan "Putih Bersih" ini dianjurkan dengan matlamat mengumpul dana untuk pembangunan infrastruktur Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah, Keramat.
Majlis yang menghimpunkan 100 orang anak-anak tahfiz dari sekitar Kuala Lumpur ini turut dimeriahkan dengan penampilan khas Kumpulan Raihan. Program yang diadakan pada bulan Ramadan ini merupakan hasil kerjasama Team Kongsi Rezeki bersama Warung Pagi Pagi, Softrein, Bateriku.com dan Bigo Live dalam usaha menjalankan tanggungjawab sosial serta menyemarakkan semangat kebersamaan.
Menurut penganjur, program ini bukan sekadar meraikan bulan Ramadan, tetapi memberi impak besar kepada jiwa-jiwa yang merindukan Nabi Muhammad SAW. Dana yang dikumpul melalui penjualan meja di majlis berbuka puasa ini akan disalurkan terus kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Misbahul Falah untuk pembinaan bangunan baharu.
Satu lagi Majlis Tahfiz Berselawat akan diadakan pada 22 Mac 2025 di Saloma, Kuala Lumpur dengan penjualan 30 buah meja bersamaan 300 buah kerusi. Hasil penjualan tersebut akan disalurkan kepada Maahad Tahfiz dan sebahagiannya akan diinfaqkan kepada Pesakit Kanser Kanak-Kanak, Adina Charity Circle.
Pihak Warung Pagi Pagi telah menawarkan harga istimewa iaitu harga modal sahaja untuk tempat duduk peserta, malah mereka turut menaja sepenuhnya tempat duduk untuk pelajar tahfiz, ustaz, ustazah serta pengamal media.
Comments
Post a Comment