Program Kongsi Rezeki Tahfiz Berselawat 2025 kutip RM33.000.00 di dua lokasi di Kuala Lumpur



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR, 23 MAC 2025 – Program Kongsi Rezeki: Tahfiz Berselawat 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Saloma Kuala Lumpur semalam. Program yang bertemakan #SAMASAMAKENYANG ini berjaya mengumpulkan seramai 100 orang pelajar dari beberapa Maahad Tahfiz sekitar Kuala Lumpur termasuk Maahad Tahfiz Misbahul Falah, Maahad Tahfiz Syazwan dan Maahad Tahfiz Nurul Hidayah, bersama lima keluarga pesakit kanser kanak-kanak dari Adina Charity Circle.


Program bermakna ini merupakan sambungan daripada majlis sebelumnya yang telah diadakan pada 15 Mac di Warung Pagi Pagi. Pengisian program termasuk bacaan Yassin, tahlil ringkas, acara berselawat bersama Soutul Falah, tazkirah Ramadan, majlis berbuka puasa, persembahan khas dari Kumpulan Raihan, solat berjemaah dan tarawih. Turut diadakan ialah sesi rakaman istimewa takbir raya yang akan disiarkan pada hari raya pertama nanti.



Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama team Kongsi Rezeki dengan pelbagai pihak termasuk Softrein, OIC Today, Warung Pagi Pagi, Bigo Live Malaysia, Bateriku.com dan Saloma Kuala Lumpur. Pada tahun ini, Bigo Live selaku platform penstriman terkemuka dunia turut bekerjasama dengan team Kongsi Rezeki dalam menyantuni anak-anak Tahfiz dan asnaf. Mereka telah menyumbangkan sebanyak RM12,000 untuk kedua-dua majlis yang dilaksanakan.


OIC Today pula menaja iklan percuma di billboard berhadapan KLCC sepanjang program berlangsung dan memberikan dana kepada Maahad Tahfiz serta pesakit kanser kanak-kanak dengan membeli lebih 50 kerusi, selain pemberian duit raya kepada anak-anak. Bateriku.com telah menaja bateri percuma untuk kenderaan rasmi Maahad Tahfiz, team Kongsi Rezeki dan van jenazah tajaan seumur hidup, manakala Softrein menjadi penaja rasmi sepanjang program Infaq Ramadan 2025.

Program ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan bulan Ramadan, tetapi juga mengumpul dana bagi pembangunan infrastruktur institusi tahfiz khususnya untuk membina sebuah bangunan bagi Maahad Tahfiz Misbahul Falah Keramat. Dana juga dikumpul untuk kelangsungan hidup pesakit kanser kanak-kanak dari Adina Charity Circle bagi membeli keperluan seperti lampin pakai buang dan susu bernutrisi.



Majlis turut diserikan dengan tazkirah ringkas daripada Ustaz Rashid dan Habib Syeikh Mahmood Al Wasobi. Hasil sumbangan dari peserta yang hadir akan diserahkan sepenuhnya kepada Maahad Tahfiz dan Adina Charity Circle.


Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan terus ke akaun CIMB: 8602008531 atas nama Maahad Tahfiz Al Quran Misbahul Falah atau ke akaun CIMB: 8605749460 atas nama Pertubuhan Kebajikan Adina untuk pesakit kanser kanak-kanak.

Team Kongsi Rezeki mengharapkan sokongan berterusan dari semua pihak bagi menjayakan inisiatif murni ini, dengan menekankan bahawa mereka hanya bertindak sebagai pengantara dan sukarelawan dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.





Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan