PROGRAM LITERASI KEWANGAN UNTUK PELAJAR OKU BEROLEH SAMBUTAN DI PULAU PINANG
Oleh: Norazni Ismail.
KEPALA BATAS, 21 MAC 2025 - Program Literasi Kewangan untuk Pelajar OKU anjuran Team ELITE dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKMGSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang baru-baru ini.
Program yang disertai seramai 60 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bumbong Lima ini mendapat sokongan penuh daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), RHBUKM Endowment Fund, Alkhair Malaysia, ALF Agency Sdn Bhd dan Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Dr. Mohd Anuar Bin Abdullah, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Instruksional, Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan Malaysia. Turut hadir ialah Dr. Nur Laili Ab Ghani, wakil Dekan UKMGSB, Puan Rosiah Mohamed Ariff, Pengetua SMKPK Bumbong Lima, Puan Anes Juwita Yahya, Pengurus Jabatan Deposit, Pembayaran dan Rangkuman Kewangan BSN, serta Tuan Amizan bin Hj Ahmad, Timbalan Naib Presiden RHB Bank Berhad Wilayah Utara.
Para pelajar OKU telah didedahkan dengan modul-modul seperti pengurusan pendapatan, perancangan kewangan, simpanan, pelaburan, pengurusan risiko, dan penggunaan instrumen kewangan digital melalui sesi pembelajaran interaktif dan permainan simulasi kewangan.
Dr. Nur Laili Ab Ghani menjelaskan bahawa program ini bukan sahaja bertujuan untuk membentuk pemahaman asas dalam pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar OKU, malah turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya dalam mengurangkan ketidaksamaan pendidikan.
"Program ini merupakan satu langkah proaktif dalam membentuk masa depan yang lebih cerah untuk pelajar-pelajar OKU. Dengan adanya pengetahuan kewangan yang kukuh, mereka lebih bersedia untuk mengurus kehidupan mereka dengan lebih berdikari serta membuat keputusan kewangan yang lebih bijak," katanya.
Sementara itu, Siti Zanariah Binti Makhdar selaku Pengarah Projek menyatakan bahawa program ini mencerminkan komitmen mereka terhadap pendidikan kewangan yang inklusif.
"Kami amat berbangga dapat menganjurkan program ini dan melihat impak positifnya terhadap pelajar-pelajar OKU. Pendidikan kewangan adalah satu keperluan asas yang perlu dikuasai oleh semua golongan, termasuk mereka yang mempunyai keperluan khas," ujarnya.
Seiring dengan sambutan Global Money Week 2025, program ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah pendidikan khas yang lain di seluruh Malaysia.
Comments
Post a Comment