Rumah Produksi Merah Umum Pelbagai Rancangan Besar Tahun 2025
![]() |
Dua tonggak utama Rumah Produksi Merah iaitu Dato' Awie dan Dato' Eddy. |
Oleh: Norazni Ismail.
PETALING JAYA, 27 MAC 2025 - Rumah Produksi Merah telah menganjurkan Majlis Iftar dan Sidang Media di Baba Nyonya House, Hub SS2, Petaling Jaya, yang diketuai oleh Dato' Awie dan Dato' Eddy Amir Salim. Majlis ini bertujuan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program-program syarikat, termasuk media yang banyak membantu dalam penulisan dan promosi.
Dalam sidang media tersebut, beberapa rancangan utama Rumah Produksi Merah telah diumumkan. Antaranya termasuklah siri mini konsert di penjara seluruh Malaysia, bermula di Penjara Kajang. Dato' Awie menekankan bahawa muzik mempunyai kuasa untuk memberi inspirasi dan harapan dalam persekitaran yang mencabar, sambil mengajak penaja dan pihak berkepentingan untuk menyokong usaha ini.
Sehubungan dengan ulang tahun ke-40 kumpulan Wings, sebuah acara besar bertajuk Wings Fest dijadualkan pada Oktober atau November 2025. Dato' Awie turut mendedahkan perancangan untuk membawa Wings mengadakan persembahan di London, yang masih dalam peringkat perbincangan.
![]() |
Dato' Awie ketika menjelaskan rancangan RPM untuk 2025. |
Rumah Produksi Merah juga merancang Konsert Tribute di mana Dato' Awie akan menyanyikan lagu-lagu klasik dari era 60-an, 70-an, dan 90-an. Sebuah album khas akan dihasilkan, dengan sebahagian royalti diagihkan kepada artis asal dan waris mereka.
Dalam bidang perfileman, syarikat telah selesai menggambar drama bersiri 20 episod untuk RTM yang membintangkan Hazama, Roi Azman, dan beberapa pelakon lain. Sementara itu, dokumentari yang merakamkan perjalanan Wings selama 40 tahun dalam industri muzik tempatan turut dalam perancangan.
Dato' Eddy Amir Salim turut membangkitkan isu cetak rompak moden, khususnya amalan melancarkan siaran langsung berbayar di YouTube tanpa kebenaran. Beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian adalah pencabulan hak cipta yang serius dan syarikat mempertimbangkan tindakan perundangan untuk melindungi kepentingan industri muzik tempatan.
![]() |
Dato' Eddy Amir Salim ketika menjawab soalan media. |
Dengan pelbagai inisiatif yang diumumkan, Rumah Produksi Merah berharap mendapat sokongan berterusan daripada semua pihak bagi memastikan kejayaan setiap program yang dirancang.
Comments
Post a Comment