Simfoni Syawal: Perpaduan Suara Tantari & Baby Fea dalam "Ragam Raya".
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 10 MAC 2025 - Penyanyi dan komposer terkenal, Achey sekali lagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan melancarkan single raya terbarunya bertajuk 'Ragam Raya'. Lagu ini turut menampilkan penyanyi baru, Baby Feaaa dan penyanyi cilik viral, Tantari.
Menurut Achey, lagu ini menceritakan pelbagai ragam dan persiapan masyarakat dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk kegilaan membeli pakaian baru dan keunikan lain yang jarang diketengahkan dalam lagu raya.
"Saya telah menghasilkan demo lagu ini sejak September lalu, tetapi proses rakaman mengambil masa kerana perlu menyesuaikan jadual semua artis terlibat, terutamanya Baby Feaaa yang sedang belajar di Kelantan," jelas Achey.
Beliau mendedahkan bahawa pemilihan Baby Feaaa dalam projek ini mempunyai nilai sentimental kerana dia merupakan anak kepada Allahyarham Harun Salim Bachik yang pernah membantu mencungkil bakatnya dalam industri seni pada tahun 2012. Manakala Tantari pula dipilih kerana sebelum ini pernah berduet dengan Achey dalam lagu 'Biar'.
"Lagu raya ini merupakan satu usaha untuk menampilkan penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu ciptaan saya. Pada masa akan datang, saya bercadang untuk mengumpulkan mereka dalam sebuah lagu raya bersama setiap tahun," ujar Achey.
Achey turut menyatakan hasratnya untuk terus menghasilkan lagu-lagu raya yang mengetengahkan tema-tema unik. Sebelum ini, beliau pernah menghasilkan 'Raya Rempit' yang berkisarkan kegilaan menghias motosikal sempena hari raya.
Beliau merakamkan penghargaan kepada label rakaman Seventeen Eleven Music, 360 Production, rakan media serta penaja utama, Sepulau Bintang yang telah membantu menjayakan muzik video lagu ini.
Single 'Ragam Raya' terbitan Seventeen Eleven Music boleh distrim di semua platform penstriman muzik mulai Jumaat, 7 Mac 2025. Muzik video rasmi lagu tersebut juga boleh ditonton di saluran YouTube Seventeen Eleven Music pada hari yang sama jam 10 malam.
Comments
Post a Comment