AMY SEARCH SEDIA UNTUK KONSERT SOLO PERTAMA DI USIA 66 TAHUN
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR - Penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Amy Search membuktikan jiwa seninya masih berkobar meskipun usianya sudah mencecah 66 tahun apabila giat membuat persiapan untuk konsert solo pertamanya yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.
Konsert yang diberi judul "Amy Search Magic Konsert Solo Pertama" itu bakal menjadi penanda pencapaian istimewa dalam karier beliau yang sudah menjangkau lebih empat dekad dalam industri muzik tempatan.
Ketika ditemui, Amy meluahkan rasa syukur kerana masih diberi kekuatan dan kesihatan untuk menghiburkan peminat setianya. "Setiap kali dapat menjayakan konsert saya dapat rasai satu kepuasan. Sebagai penghibur, saya sentiasa mahu berada di atas pentas dan menghiburkan peminat," katanya.
Beliau juga berkongsi bahawa pada usia kini beliau lebih peka dalam menjaga kesihatan dan stamina supaya mampu bertahan sepanjang konsert yang dijadualkan berlangsung selama dua jam setengah.
"Sudah tentu di usia sekarang ini saya perlu pastikan diri kekal sihat dan bertenaga. Penyanyi ini umpama pemain bola kerana perlu kekalkan stamina supaya dapat berikan persembahan yang mantap," ujarnya.
Amy turut memberitahu sekitar 20 hingga 25 lagu akan dipersembahkan pada malam istimewa itu termasuk lagu-lagu hits kegemarannya. Beliau juga menjanjikan konsert tersebut akan menjadi sambutan Aidilfitri yang penuh bermakna bersama peminat.
Konsert bersejarah ini menampilkan pengarah konsert berpengalaman, Jennifer Thompson yang akan memastikan perjalanan konsert berjalan lancar. Konsert bertema "Rock It Like Amy" turut menggalakkan peminat untuk mengenakan gaya fesyen yang mencerminkan semangat dan identiti rock n' roll.
Tiket konsert boleh didapati di platform www.wowtix.com.my dengan harga bermula dari RM188 hingga RM788 mengikut kategori yang dipilih.
Comments
Post a Comment