INSOMNIACKS LANCAR EP BAHASA INGGERIS "AWAKE & DREAMING"



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR: Kumpulan muzik popular tanah air, Insomniacks, yang dianggotai Iqie (vokalis), Iskandar (pemain bes) dan Dan (pemain gitar) baru-baru ini melancarkan EP bahasa Inggeris pertama mereka berjudul "Awake & Dreaming" yang menampilkan lima buah lagu berunsur pop rock.

Iqie berkata, kumpulan itu telah lama memendam hasrat untuk melancarkan koleksi lagu dalam bahasa Inggeris sejak awal penubuhan.

"Kami yakin peminat dan pendengar muzik kami di Malaysia sudah bersedia untuk melihat sisi berbeza Insomniacks. Proses penulisan lagu dalam bahasa Inggeris ini sangat menyeronokkan dan menyegarkan," katanya.

EP tersebut memuatkan lagu "Anti-hero", "Awake & Dreaming", "Overdrive" (featuring KillaDriz), "Some Days Are Just Better" dan "Why Don't You Cry" yang dihasilkan sepenuhnya oleh ahli kumpulan dengan kerjasama JOEK sebagai produser dan Joseph Chua sebagai penyusun muzik.

Menurut Dan, EP ini menggambarkan pengalaman mereka bergelut dengan masalah insomnia, yang menjadi inspirasi utama terutamanya untuk lagu tajuk. Beliau menjelaskan bahawa EP tersebut merungkai kesulitan dalam fasa berbeza mengenai kesihatan mental dan peduli terhadap perasaan mereka yang mengalami isu serupa.

"Walaupun ditulis sedekad lalu, ia tetap mengimbau kembali masa dan emosi yang kami lalui ketika itu. Akhirnya tahun ini kami dapat memberinya nafas baharu dengan suntikan bunyi moden dan nostalgia," jelasnya.


Iskandar pula menyatakan bahawa dengan penambahan diskografi bahasa Inggeris ini, impian kumpulan untuk mengadakan konsert sendiri semakin hampir. Kumpulan ini akan dapat mempersembahkan gabungan lagu-lagu hit Melayu mereka seperti "Pulang", "Reminisensi" dan "Sempurna" bersama karya baharu dalam bahasa Inggeris.

Insomniacks yang dikenali sebagai kumpulan muzik yang digilai oleh generasi Z terus membuktikan kreativiti mereka dengan langkah berani ini. Dua lagu hit mereka iaitu "Reminisensi" dan "Sempurna" kini berada dalam carta Top 10 Lagu Domestik Paling Strim di Malaysia oleh RIM.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan