MALAM AMAL "RINDU BAYANGAN" KENANG PEMUZIK LEGENDA JAY JAY
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 17 APRIL 2025- Sebuah konsert amal bagi mengenang jasa pemuzik legenda tanah air, Jay Jay atau nama sebenarnya Mohd Fauzi bin Darus, akan berlangsung pada 11 Mei 2025 di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang. Acara bertajuk "Malam Rindu Bayangan" ini dianjurkan hasil inisiatif anak bongsu Allahyarham, Nur Camelia atau Cammy, yang telah menghubungi Dato' Freddie untuk mengadakan persembahan penghargaan buat ayahnya.
Jay Jay yang meninggal dunia pada 4 Ogos 2024 dalam usia 67 tahun disifatkan sebagai "seorang sahabat yang sangat berdedikasi, berbakat dan amat disenangi ramai" oleh Dato' Freddie yang merupakan rakan seperjuangan Allahyarham.
Konsert amal ini akan bermula pada jam 8.00 malam dan berlangsung selama tiga jam dengan menampilkan barisan artis terkenal tanah air. Antara penyanyi yang akan membuat persembahan termasuk Dato' Ramli Sarip, Dato' Khatijah Ibrahim, Dato' Hattan, Dato' Jeffrydin, Jatt dari Black Dog Bone, dan Tam dari Spider. Turut membuat persembahan ialah barisan asal kumpulan Carefree yang pernah berkarya bersama Jay Jay semasa zaman kegemilangannya.
Penyanyi Hairee Kool dan Tengku Hadirah pula akan memulakan acara dengan persembahan pra-konsert. Persembahan pada malam tersebut akan diiringi oleh barisan pemuzik hebat negara seperti Nan Saturnine, Rafi Gong, Ujang Exist dan Firdaus.
Selain persembahan muzik, acara ini turut menawarkan jualan amal lukisan penghargaan oleh pengkarya seni Fathullah Luqman dari Spiral Kinetik Circus dan Infectious Maggots, yang akan dijual secara lelongan. Saudara Tapa, pereka grafik yang banyak menghasilkan reka bentuk dan arahan seni album Jay Jay sepanjang kerjayanya, turut akan membuat penampilan istimewa.
Hasil kutipan daripada malam amal ini akan disumbangkan kepada rakan-rakan artis yang memerlukan bantuan. Sebagai permulaan, pada hari sidang media pengumuman acara ini, pihak penganjur telah menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima yang memerlukan bantuan iaitu Shuib dari Freedom, Ramlah iaitu balu kepada Allahyarham Yazit pemain dram kumpulan Search, dan Ali dari kumpulan XPDC.
Orang ramai yang berminat untuk menyokong acara ini boleh berbuat demikian dengan membeli meja untuk 10 orang pada harga RM1,500, RM3,000, RM5,000 atau RM10,000. Tiket individu berharga RM150 turut disediakan tetapi terhad kepada 100 tempat sahaja.
Bagi yang berminat untuk membuat tempahan meja, pembelian tiket, tajaan atau sebarang pertanyaan, boleh menghubungi Dato' Freddie di talian 012-2071400.
"Jangan lepaskan peluang untuk bersama kami dalam malam penuh kasih, kenangan dan penghargaan ini. Kami ingin seluruh rakyat Malaysia turut sama mengenang insan seni yang pernah menjadi suara generasi kita semua," kata Dato' Freddie.
Comments
Post a Comment