Noraniza Idris Hadiahkan Konsert Raya Percuma 'KONSERT EH RAYA 2025' Di Summit USJ



Oleh: Norazni Ismail.

SUBANG JAYA, 09 APRIL 2025 - Sambutan Aidilfitri tahun ini bakal dimeriahkan dengan penganjuran Konsert Eh Raya 2025 yang akan berlangsung di Summit USJ pada 26 April 2025. Program ini dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik dan persembahan daripada Noraniza Idris serta barisan artis jemputan.

Konsert Eh Raya 2025 bukan sekadar persembahan muzik, malah turut menampilkan pelbagai acara sampingan yang menggalakkan penyertaan masyarakat. Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk Bengkel Santai Zapin & Ronggeng Selangor yang menyasarkan 300 peserta berusia 6 tahun ke atas untuk menyemarakkan budaya tradisional.

Kanak-kanak berumur 4-7 tahun pula berpeluang menyertai Pertandingan Mewarna "Eh, Warna-Warna Raya!" dengan hadiah wang tunai sebanyak RM200, RM150, RM100, dan RM50 bagi 10 peserta terbaik, selain trofi, 50 medal, dan buku cerita kanak-kanak.

Pertandingan Tarian Kreatif Eh Raya turut dianjurkan melibatkan lebih 5 negeri dengan penyertaan seramai 200 orang untuk merebut hadiah wang tunai sehingga RM3,000 bagi koreografi terbaik. Tujuh kumpulan saguhati akan menerima RM500 berserta sijil dan trofi.

Program ini turut menawarkan 100 hadiah cabutan bertuah berupa hamper tajaan untuk pengunjung bertuah. Pelbagai persembahan menarik seperti Flashmob Zapin, Malar Likur yang menampilkan penyediaan pelita raya, Rewang Raya untuk memperkenalkan budaya gotong-royong, serta sketsa Pagi 1 Syawal turut diadakan.

Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan preview repertoire Selangor dan perarakan makanan gastronomi warisan Bugis yang penuh dengan adat istiadat.

Menurut Noraniza Idris, semua penyertaan dalam acara ini adalah percuma sebagai salah satu inisiatifnya dalam mendekatkan masyarakat kepada budaya dan seni warisan. "Saya rasa terpanggil untuk menerapkan budaya Ronggeng ini dalam bentuk kreatif bagi mempopularkannya semula tanpa menjejaskan warisan sebenar yang pernah diamalkan pada zaman dahulu kepada komuniti," katanya.

Sementara itu, penyanyi Noraniza Idris menzahirkan rasa teruja apabila berpeluang menjayakan Konsert Eh Raya 2025 anjuran Persatuan Tatihseni Malaysia. 

“Saya amat teruja kerana dapat menjayakan konsert ini bersama rakan-rakan artis lain, yang pastinya bakal menghiburkan pengunjung dengan pelbagai persembahan menarik. 

“Pusat beli-belah Summit USJ dipilih sebagai lokasi strategik kerana ia  antara pusat tumpuan komuniti yang meriah dengan pengunjung sempena musim perayaan.

“Sebagai anak seni, saya percaya muzik tradisional dan elemen kebudayaan harus terus diberi ruang dan disatukan dengan irama moden agar mampu menarik minat generasi baru. 

“Konsert ini juga menjadi platform untuk memperkenalkan semula keindahan muzik etnik kreatif yang saya perjuangkan sejak dahulu. Dengan adanya acara seperti ini, saya berharap masyarakat akan lebih menghargai kepelbagaian warisan seni kita yang kaya dan unik,” katanya yang turut bertindak sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia. 

Noraniza Idris menzahirkan rasa teruja apabila berpeluang menjayakan Konsert Eh Raya 2025.

Melalui Noraniza Idris Dance Academy yang baru beroperasi di Shah Alam, beliau turut mengetengahkan modul pembelajaran asas tarian etnik Malaysia dan Negeri Selangor sempena konsert ini, seiring dengan Tahun Melawat Selangor 2025.

Konsert Eh Raya 2025 yang berkonsepkan rumah terbuka akan menampilkan Noraniza Idris sebagai tuan rumah berwatak Che Ani, bersama Azmir Arif, Helmi Gimmick, dan Siti Sarah dalam lapan segmen berdurasi dua jam. Konsert ini dimeriahkan dengan persembahan tarian pelbagai lagu Hari Raya Noraniza Idris seperti Rewang Raya dan Halal Bihalal daripada 60 pelapis tari NIDA TARI.

Agensi-agensi pelancongan seperti bas pelancong, pemandu pelancong, dan operator pelancongan yang berminat membawa pelancong menyaksikan persembahan kebudayaan bertema Hari Raya boleh hadir terus ke acara yang bermula seawal 9 pagi.

Penganjur turut membuka peluang tajaan kepada usahawan yang ingin berkongsi pakej ekonomi rumah terbuka menerusi platform promosi produk dalam kempen konsert. Sebagai imbal balik, pihak penganjur menyediakan meja jamuan minum petang dengan menu gastronomi warisan Bugis secara percuma, selain ruangan untuk mempamerkan produk.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan