Konsert "Kasi Gegar! Cromok vs Amuk" Catat Sejarah Muzik Rock Tanah Air
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 21 APRIL 2025 - Dua gergasi rock tanah air, Cromok dan Amuk, bakal mencipta sejarah apabila bergabung untuk kali pertama dalam satu pentas melalui konsert "Kasi Gegar! Cromok vs Amuk" yang akan berlangsung pada 26 April 2025 di N9 Arena, Nilai.
Penganjur konsert, YNS Event Management, menyifatkan persembahan ini sebagai satu peristiwa bersejarah yang telah dinanti-nantikan peminat kedua-dua kumpulan legenda ini selama lebih 15 tahun.
Bandi, vokalis Amuk, tidak menyembunyikan rasa terujanya apabila impian beliau untuk berkongsi pentas dengan Cromok akhirnya menjadi kenyataan. "Saya dah lama tunggu peluang ni. Lebih 15 tahun saya harapkan satu pentas bersama Cromok," ujarnya.
![]() |
Bandi (AMUK). |
Konsert yang dijadualkan bermula pada jam 9 malam itu akan menyaksikan persembahan solo daripada kedua-dua kumpulan, selain kolaborasi istimewa yang belum pernah berlaku sebelum ini. Bandi mendedahkan bahawa peminat bakal disajikan dengan 15 hingga 18 buah lagu, dengan sebahagiannya akan dipilih melalui undian media sosial.
Karl, gitaris Cromok, turut menjanjikan penonton satu pengalaman unik dengan susunan lagu yang berbeza. "Macam mana kalau lagu Cromok dinyanyikan oleh Amuk? Atau Sam nyanyi lagu Amuk? Nak tahu macam mana bunyinya, kena datang sendiri," katanya.
![]() |
Karl (CROMOK). |
Konsert ini juga akan menjadi acara sulung di N9 Arena, lokasi yang dipilih kerana kedudukannya yang strategik berdekatan dengan Kuala Lumpur, Melaka, dan Johor. Venue ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tempat letak kereta yang luas dan surau untuk keselesaan penonton.
Antara kejutan yang dipersiapkan untuk konsert ini ialah pengenalan dua pemain gitar untuk Amuk. Pengunjung juga akan dapat menikmati gabungan elemen old-school analog daripada Amuk dan teknologi moden dari Cromok yang menjanjikan kontras sonik yang menarik.
Kedua-dua kumpulan telah memulakan persiapan sejak Januari lalu dengan komitmen tinggi untuk memastikan konsert ini menjadi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan peminat muzik rock tanah air.
![]() |
Ketika sesi temubual bersama media. |
"Ini mungkin kali pertama dan terakhir kami bergabung atas satu pentas. Jadi kepada peminat semua – jangan lepaskan peluang," pesan Karl dan Bandi kepada peminat-peminat mereka.
Tiket untuk konsert "Kasi Gegar! Cromok vs Amuk" kini boleh didapati menerusi platform dalam talian n9arena.ubertickets.asia.
Comments
Post a Comment