Rizman Ruzaini Buka Butik Pertama di Dubai, Bawa Budaya Malaysia ke Persada Dunia
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 28 APRIL 2025- Jenama fesyen terkenal tanah air, Rizman Ruzaini, bakal mencatat sejarah apabila mengumumkan pembukaan butik pertama mereka di Dubai sebagai langkah mengukuhkan kedudukan jenama Malaysia di peringkat antarabangsa.
Selepas 20 tahun bertapak dalam industri fesyen tempatan, pasangan pereka terkenal ini kini yakin untuk meluaskan sayap ke peringkat global dengan membawa budaya Malaysia ke mata dunia. Menurut Rizman, setiap kali diberi peluang untuk membuat persembahan di pentas antarabangsa, Rizman Ruzaini sentiasa membawa Malaysia bersama sebagai cara memperkenalkan negara kepada masyarakat antarabangsa.
"Konsep yang sama kami gunakan bila mula bertapak sejak 20 tahun lalu, apabila menggunakan artis-artis terkenal tanah air untuk memperagakan rekaan kami. Kali ini untuk misi yang lebih besar, kami mahu melihat pakaian kami diterima barisan selebriti antarabangsa pula," kata Rizman.
Pembukaan butik di Dubai merupakan sebahagian daripada strategi jenama ini untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada pelanggan antarabangsa, terutamanya dari Timur Tengah yang telah menunjukkan sokongan padu kepada jenama tersebut.
"Memang dalam perancangan untuk Rizman Ruzaini membuka sebuah butik di Dubai, malah ketika ini juga kami sudah mempunyai barisan pelanggan terutamanya dari Timur Tengah yang memang banyak memberi sokongan. Jadi pembukaan butik ini kelak secara tidak langsung dapat memenuhi permintaan dari pelanggan di sana," jelasnya.
Dalam usaha memastikan jenama ini kekal relevan di pasaran yang semakin kompetitif, Rizman juga mendedahkan bahawa mereka sedang merancang beberapa perubahan membabitkan struktur perniagaan selepas hampir dua dekad beroperasi.
"Memang kami sedang merancang ke arah itu, sebab selepas hampir 20 tahun ini adalah waktu yang sesuai untuk Rizman Ruzaini revamp. Kami harap dengan perubahan ini akan memberi peluang untuk jenama ini berkembang lebih maju," tambahnya.
Kejayaan jenama Rizman Ruzaini membuka butik di Dubai bukan sahaja membanggakan mereka, tetapi juga diharap dapat menjadi inspirasi kepada pereka muda tanah air untuk turut menjejakkan kaki ke pentas antarabangsa, sekaligus mengangkat nama Malaysia dalam dunia fesyen global.
Comments
Post a Comment