Rossa akan Adakan Konsert "Here I Am" di Kuala Lumpur pada Jun 2025



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR, 23 April 2025 - Ratu Pop Indonesia, Dato' Sri Rossa Roslaina akan menganjurkan konsert bertajuk "Here I Am" di Axiata Arena Kuala Lumpur pada 14 Jun 2025. Konsert ini merupakan kesinambungan daripada kejayaan jelajah konsertnya di tiga buah negara selama dua tahun berturut-turut iaitu "Rossa 25 Shining Years (2022)" dan "Another Journey: The Beginning (2023)" yang telah menarik lebih 80,000 penonton.

Konsert "Here I Am" dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama promosi dan pemasaran dari Sah Entertainment. Konsert ini turut mendapat sokongan daripada USANITA Entertainment sebagai penaja utama, Maybank sebagai Rakan Strategik Perbankan, Sunway Putra Hotel sebagai Rakan Strategik Penginapan dan Saloma Kuala Lumpur sebagai penaja bersama.

Menurut Dato' Sri Rossa, konsert "Here I Am" akan menampilkan sesuatu yang lebih segar, kreatif dan berbeza daripada konsert-konsert beliau sebelum ini. "Konsert ini juga melibatkan banyak kolaborasi, kejutan dan konsep yang saya yakin pasti buatkan semua teruja menontonnya," katanya.

Konsert ini turut menjadi manifestasi kekaguman dan penghargaan Rossa terhadap bakat seni serumpun apabila beliau turut mengundang rakan senegara dan penyanyi dari Malaysia untuk beraksi pada malam bersejarah itu. Antara artis yang akan turut serta ialah Ariel Noah dan pemuzik terkenal Indonesia, Dipha Barus, serta bakat hebat dari Malaysia seperti Ernie Zakri dan MK K-Clique.

Nama "Here I Am" dipilih sebagai refleksi perjalanan kerjaya Rossa serta legasi yang telah dicapainya hingga kini. "Nama 'Here I Am' itu menggambarkan perjalanan kerjaya saya yang telah membawa saya sejauh ini, menjadikan siapa diri saya pada hari ini, berapa banyak album termasuk lagu hits dihasilkan, penghargaan serta anugerah yang diterima, termasuk konsert-konsert solo saya," jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato' Aizuddin yang sinonim dengan penganjuran konsert berskala besar menyatakan bahawa penganjuran konsert Dato' Sri Rossa ini akan meneruskan kerjasama strategik dengan beliau dan PRIHATIN untuk tujuan kebajikan yang telah dimulakan sejak tahun 2012. "Saya bersyukur kerana Dato' Sri Rossa sentiasa prihatin dengan aktiviti kebajikan di Malaysia dan sentiasa bekerjasama untuk penganjuran konsert yang bukan bersifat komersial semata-mata," katanya.


Rossa bersetuju untuk sama-sama mencari dana bagi tujuan pendidikan dan kebajikan melalui jualan tiket dan menyalurkan sebahagian hasil jualan ke Tabung Kasih Prihatin. PRIHATIN juga mengalu-alukan pihak korporat dan orang perseorangan untuk membeli tiket Royale, First Class dan Executive seterusnya memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan melalui konsep "Berhibur Sambil Beramal".

Harga tiket konsert "Here I Am" bermula dari RM228 untuk kategori Festival hingga RM788 bagi kategori Diamond Center, tidak termasuk cukai dan yuran pentadbiran. Pemegang kad Maybank mempunyai kelebihan diskaun bagi pembelian tiket dengan diskaun 8% bagi kad kredit dan 5% bagi pemegang kad debit. Tiket boleh dibeli di platform www.ticket2u.com untuk pembelian secara online dan tiket korporat boleh diperoleh dengan menghubungi Puan Cik Rohaiza di talian 019-288 9764 atau email rossa@yayasanprihatin.com.

Untuk maklumat tambahan, konsert "Here I Am" Rossa akan diadakan di tiga buah negara iaitu di Indonesia, Malaysia dan Singapura. Di Malaysia, konsert ini akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025, manakala di Singapura akan berlangsung pada penghujung tahun 2025.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan