RYZALL NOH MULA MERAIH PERHATIAN DI MALAYSIA
Oleh: Norazni Ismail.
Seorang penyanyi berbakat dari Singapura, Ryzall Noh, kini mula dikenali dalam kalangan peminat muzik di Malaysia melalui bakat versatilnya sebagai penyanyi, pencipta lagu dan penerbit muzik.
Ryzall yang sebelum ini merupakan vokalis kumpulan Audionauts dari tahun 2010 hingga 2017, telah mengukir nama dalam industri muzik serantau dengan pelbagai pencapaian bersama kumpulan tersebut. Antara anugerah yang telah dimenangi termasuk Kumpulan/Duo Terbaik di Anugerah Planet Muzik 2013, Lagu Tertinggi Royalti di Anugerah Compass Singapura, dan Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik 2015.
Kini, Ryzall sedang mengorak langkah dalam kerjaya solonya dan telah menjalin kerjasama dengan pelbagai artis terkemuka seperti Ronnie Hussin, Almarhum Tony Spider, Rahila Rashun, Af Altimet, Moliano Lovehunters, Maman Teacher Pet, Addy Cradle, dan Dato Ramli Sarip.
Selain bergelar penyanyi, Ryzall turut dikenali sebagai pelakon, komposer, dan penulis lirik yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau. Sebagai penerbit yang sedang meningkat naik, beliau juga telah menjalin kerjasama dengan pelbagai artis dan badan kerajaan.
Penyanyi serba boleh ini aktif berkongsi perkembangan terkininya di platform media sosial seperti Instagram, TikTok, dan YouTube. Antara projek lagu terbaharunya termasuk "Darwish", "Tak Seindah Kata", dan "Sebuah Cinta".
Lagu "Darwish" telah mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja di stesen radio Singapura dan Malaysia, malah turut mendapat perhatian di stesen radio di Amerika Latin dan Sepanyol. Ryzall juga telah membuat persembahan di acara-acara seperti Popaholic di Esplanade, Singapura.
Menurut Ryzall, lagu "Darwish" menceritakan kisah seorang manusia biasa yang sedia berkorban apa sahaja demi mendapatkan cinta 'kekasihnya' dan melunaskan rindu yang lama terpendam. "Darwish ini sememangnya terkenal dalam cerita-cerita sufisme. Kesimpulannya ia cerita tentang sufi iaitu perjalanan mencari Tuhan," jelasnya.
Beliau turut menyatakan rasa bersyukur kerana berpeluang bekerjasama dengan individu berbakat dalam penghasilan lagu tersebut, termasuk Hairul Anuar Harun yang menulis lirik lagu-lagu popular seperti Cindai, Hati Kama, Yayadan, Samrah Mentari, Tinting, Sesuci Lebaran dan Nirmala.
Sebagai komposer, Ryzall melihat "Darwish" sebagai lagu yang membicarakan tentang harapan dan pujian yang mekar kembang serta membangkitkan semangat berkenaan cinta yang tidak terbalas.
Comments
Post a Comment