'Slam X Exists-Our Journey' Bawa Kembara Nostalgia di Mega Star Arena, 26 Julai Ini

 


Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 24 APRIL 2025 - 'Slam X Exists-Our Journey' bakal membawa peminat muzik Malaysia melalui perjalanan nostalgia apabila dua kumpulan legenda tanah air bergabung dalam konsert istimewa di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025.

Konsert anjuran SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi merupakan penceritaan tentang perjalanan panjang kedua-dua kumpulan dalam industri muzik Malaysia yang telah bertahan berdekad lamanya.

Shah Nizam Abdul Halim, pengasas SS Karya Venture menjelaskan bahawa konsert ini dirancang dengan teliti bersama kedua-dua kumpulan. "Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik tetapi menjadi jenama kukuh dalam industri hiburan Nusantara menerusi karya-karya mereka yang bermutu," ujarnya.

Kumpulan SLAM.

Pertalian kedua-dua kumpulan ini bermula sejak awal penubuhan Slam yang diasaskan oleh Shah, bekas anggota Exists, sebelum mencapai kejayaan bersama Lili, Man, Zamani dan Eddie. Sementara itu, Exists telah berkarya lebih dua dekad dengan beberapa perubahan anggota termasuk vokalis dari Mamat, Ezad, dan kini kembali dengan Ezad bersama tulang belakang kumpulan iaitu Ajai, Ujang, Along dan Musa.

Peminat boleh menjangkakan persembahan hit-hit popular seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, Mentari Muncul Lagi dari Slam, serta Julia, Langkah Seiringan, dan Jesnita dari Exists. Momen istimewa juga bakal tercipta apabila dua vokalis terkenal, Ezad dan Zamani, bergabung suara di atas pentas dengan iringan barisan pemuzik hebat tanah air.

Kumpulan EXISTS.

"Besar harapan kami 'Slam X Exists-Our Journey' akan menjadi satu momen buat peminat melihat perjuangan kami, menikmati karya kami dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik tetapi juga sentiasa menyokong pemuzik dengan sihat," kata Shah daripada Slam.

Tiket konsert ini kini boleh dibeli melalui www.ilassoTicket.com/slamexists dengan harga bermula RM168 (PS4 LANGKAH SEIRINGAN), RM268 (PS3 RINDIANI), RM368 (PS2 JULIA), RM388 (PS1 JESNITA), RM448 (VIP MARIA MARIANA), dan RM3000 (GRAND VIP KEMBALI TERJALIN).

Sambutan terhadap konsert ini sangat menggalakkan dengan tiket PS4 Langkah Seiringan telah habis dijual dalam masa tiga hari, manakala tiket PS3 hampir terjual habis dalam tempoh seminggu selepas jualan tiket diumumkan.

Konsert 'Slam X Exists-Our Journey' bukan sahaja meraikan perjalanan kedua-dua kumpulan legenda ini, tetapi juga sokongan padu peminat yang menjadi tulang belakang kejayaan mereka sehingga kini.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan