Bella Astillah & Ade Govinda Bergabung Dalam Single "Lebih Indah Berpisah"
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 02 MEI 2025 - Penyanyi terkenal Bella Astillah telah kembali ke industri muzik dengan single terbaru bertajuk "Lebih Indah Berpisah", hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda.
Lagu yang dilancarkan pada 2 Mei 2025 ini membawa mesej tentang kekuatan hati untuk melepaskan cinta yang tidak lagi menghargai, demi membuka lembaran hidup yang lebih indah. Karya ini dicipta dan dihasilkan sepenuhnya oleh Ade Govinda.
Menurut Bella, lagu ini merupakan karya yang sangat istimewa buat dirinya. "Bermula daripada cadangan tajuk yang asalnya sedikit berbeza, akhirnya saya dan Ade Govinda sepakat untuk memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini, mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan," katanya.
Bella turut menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Ade dan pasukannya sebagai kenangan berharga yang tidak dapat dilupakan. Beliau memuji profesionalisme mereka yang menghormati masa, bakat, dan semua orang tanpa diskriminasi. Proses rakaman juga berlangsung dalam suasana positif dan penuh sokongan.
"Saya mahu lagu ini diterima dengan baik, dan menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup mereka. Saya juga berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, malah juga di Indonesia," tambah Bella.
Bella menegaskan bahawa projek ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi sebagai platform untuk mencabar diri sendiri, memperbaiki mutu nyanyian dan berkembang sebagai seorang artis.
Sementara itu, Ade Govinda menjelaskan bahawa lagu "Lebih Indah Berpisah" bukan sekadar melodi, tetapi luahan jiwa tentang keberanian melepaskan dan memilih jalan baharu demi kebahagiaan diri.
"Lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang berani mengambil keputusan untuk berpisah apabila cintanya tidak lagi dihargai. Berpisah bukanlah sebuah kegagalan, tetapi satu langkah berani menuju kehidupan yang lebih indah, berbanding terus berjuang seorang diri dalam hubungan yang tidak seimbang," jelas Ade.
Ade turut memuji tahap profesionalisme Bella, bukan sahaja dalam nyanyian malah dalam lakonan video muzik. "Bella sangat profesional dan menunjukkan kesungguhan luar biasa. Tidak banyak wanita yang mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen sepertinya," ujar Ade.
Lagu "Lebih Indah Berpisah" kini boleh didengarkan di semua platform digital dan video muzik rasmi turut dilancarkan di YouTube.
Comments
Post a Comment