DOLLA LANCAR SINGLE TERBAHARU "MWA!" DENGAN PERSEMBAHAN IMERSIF DI KUALA LUMPUR



Oleh: Eqmal Ezad.

KUALA LUMPUR 10 MEI 2025- Kumpulan pop sensasi Malaysia, DOLLA, telah kembali ke arena muzik tanah air dengan single terbaru mereka bertajuk "MWA!" yang dilancarkan secara rasmi pada 10 Mei 2025. Lagu yang penuh tenaga ini, digubah oleh pasukan kreatif antarabangsa termasuk Chelsea Warner, GASTON, Roland Lim Shi Jie, Tabby, Sabronzo dan Angel, membawa dimensi baharu dalam perjalanan kumpulan ini dalam industri muzik tempatan.

Video muzik yang mengiringi lagu ini diarahkan oleh pengarah terkenal, Jasmine Wong, dan menampilkan jenama kenderaan OMODA JAECOO sebagai penaja rasmi. Dengan jalan cerita yang unik, setiap ahli DOLLA berperanan sebagai pakar ilusi yang sedang merancang dan melaksanakan satu operasi yang penuh aksi, menggabungkan elemen drama dan fesyen yang berani dalam setiap babak.

Menurut Angel, ahli kumpulan DOLLA, proses kreatif bagi lagu ini sangat istimewa kerana semua ahli kumpulan terlibat secara mendalam dalam pembentukan lagu, berbanding projek-projek terdahulu. "Konsep kali ini lebih liar dan 'unhinged', sangat berbeza dengan apa yang pernah kami hasilkan sebelum ini," kongsi Angel yang berperanan sebagai "pejuang" dalam video tersebut.

DOLLA ketika menjawab soalan media.

Sabronzo pula menjelaskan bahawa lagu ini tidak bermula dengan demo yang lengkap, tetapi hanya idea asas yang kemudiannya dibina secara berperingkat, menghasilkan sebuah karya yang menggambarkan visi kumpulan itu. Tabby turut menambah bahawa MWA! hanyalah permulaan kepada apa yang digelar sebagai "tahun lagu DOLLA" dengan lebih banyak lagu baharu yang bakal dilancarkan dalam waktu terdekat.

Kemuncak pelancaran single "MWA!" adalah acara "The MWA! Heist" yang mengambil alih kawasan Bukit Bintang pada 10 Mei dengan satu aktivasi khas di Bukit Yayasan Selangor. Para peminat berkesempatan menyertai pengalaman imersif di mana konsep video muzik dihidupkan melalui pelbagai aktiviti menarik termasuk persembahan tarian rawak, pameran visual, dan persembahan langsung pertama lagu "MWA!" oleh DOLLA.

Lagu "MWA!" telah mula diedarkan di semua platform digital sejak 5 Mei 2025, manakala video muziknya boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube rasmi DOLLA. Dengan produksi yang padat, visual yang berani dan semangat baharu, MWA! dilihat sebagai penanda permulaan era baharu buat kumpulan DOLLA dalam industri muzik tempatan dan serantau.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan