Kematian Nas Ahmad: Makan Bersama Keluarga Jadi Kenangan Terakhir
Oleh: Norazni Ismail.
KOTA DAMANSARA 02 MEI 2025 - Muhammad Nasrul, 38, anak sulung kepada penyanyi terkenal Allahyarham Nas Ahmad mendedahkan bahawa permintaan terakhir ayahnya adalah untuk makan bersama keluarga di luar rumah minggu lalu, walaupun dalam keadaan kesihatan yang semakin merosot.
Menurut Nasrul atau lebih dikenali sebagai Alun, permintaan itu dipenuhi oleh keluarganya tanpa menyedari ia merupakan pertemuan terakhir mereka di luar. "Kami tunaikan juga permintaannya. Tak sangka, itulah kali terakhir kami makan bersama di luar," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara hari ini.
Allahyarham Nas Ahmad atau nama sebenarnya Md Nasir Ahmad yang telah menghidap masalah jantung sejak 2022, baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh seminggu lalu setelah menjalani rawatan selama tiga minggu bermula pada hari raya pertama.
Keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot apabila sebelah matanya tidak dapat melihat seperti biasa manakala sebelah lagi telah menjalani pembedahan. Keluarga merancang untuk membuat rawatan untuk mata yang bermasalah selepas raya, namun tidak sempat dilakukan.
Alun turut menceritakan bahawa dua hari sebelum pemergian ayahnya, Allahyarham mula batuk berkahak yang sukar dikeluarkan. Walaupun diberi ubat cair kahak dari hospital, keadaan Allahyarham semakin teruk dengan pernafasan berombak, yang menyebabkan keluarga mengambil keputusan untuk menghubungi ambulans.
"Doktor memang dah beritahu kami, jantung ayah memang dah lama lemah, berfungsi hanya 17 peratus sahaja sejak awal lagi. Baru-baru ini, hati dan buah pinggangnya pula mula rosak sedikit. Menurut doktor, harapan untuk sembuh memang tipis," jelasnya.
Namun demikian, Alun memberitahu bahawa ayahnya tidak pernah menunjukkan tanda-tanda kesakitan yang teruk dan masih mampu berbual serta bergurau seperti biasa.
Sebagai anak sulung, Alun menyimpan pesanan terakhir daripada ayahnya yang memintanya bersedia untuk mengambil alih dan menguruskan segala urusan keluarga selepas ketiadaan beliau. "Masa dia cakap begitu, saya cuba tahan perasaan dan tak mahu terlalu sedih. Tapi itulah antara pesanan yang masih tersemat dalam ingatan saya," katanya.
Alun terharu dengan kehadiran ramai rakan sekerja dan kenalan pada hari pengebumian ayahnya, dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang datang dan memberi sokongan. Dia turut menyatakan rasa bangganya terhadap hubungan istimewa ayahnya dengan Melodi dan pengiktirafan yang diterima oleh Allahyarham.
Allahyarham Nas Ahmad menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Buloh pada jam 10 pagi hari ini dan telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara selepas solat Zohor. Beliau meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.
Comments
Post a Comment