KONSERT ULANG TAHUN KE-35 KUMPULAN MELISSA BAKAL GEGAR JOHOR BHARU
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 20 MEI 2025 - Kumpulan rock legendaris tanah air, Melissa, bakal mengadakan konsert bersempena ulang tahun ke-35 penubuhan kumpulan tersebut bertajuk "GEGAR BUMI SELATAN 35 TAHUN ANNIVERSARY MELISSA" di The Colosseum Rooftop City Plaza Johor Bharu. Konsert yang dijadualkan bermula pada jam 9.00 malam ini akan menampilkan keempat-empat anggota asal kumpulan iaitu Mohamed Ali (Aliff), Fariz Ahmad (Fareez Undertaker), Mohamed Nor Razak (Ajak Melissa) dan Samsul Kamal Bin Mohd.Zain (Ancoy) yang masih kekal relevan dalam industri muzik tanah air sejak penubuhan kumpulan pada tahun 1990.
Konsert yang dianjurkan oleh Aliffbumirock Production dan Island Hous ini turut menampilkan Melissa Band yang ditubuhkan oleh Ajak Melissa pada tahun 2023, dengan penampilan Black Melissa Band sebagai pemain dram dan Kyoji Sky sebagai gitaris/pemain keyboard undangan untuk meneruskan legasi kumpulan tersebut. Selain itu, kumpulan Spellbound dari selatan tanah air dan kumpulan Ozon dari utara akan turut membuat persembahan sebagai pembuka tirai konsert bersejarah ini.
![]() |
Tunggak utama MELISSA, Fareez dan Ajak. |
Peminat setia Melissa berpeluang untuk bernostalgia melalui persembahan lagu-lagu popular dari ketiga-tiga album kumpulan tersebut iaitu "Pendirian" (1990), "Kami Mat Rock" (1991) dan "Mistik" (1993), termasuk hits seperti "Cinta Untuk Nabila", "Pendirian", "Bencana", "Memikat Cahaya", "Puteri Nagasari", "Takdir Sebuah Cinta", "Mistik", "Grunch", "Laduni", "Sensitif", "Boneka Kaca" dan lagu terbaru "Coronavirus" yang dirakam semula oleh Melissa Band. Keseluruhan konsert dijangka berlangsung selama hampir tiga jam dengan persembahan 16 lagu tanpa henti dari Melissa.
Pentas konsert yang akan dibina di atas bumbung bangunan dengan persekitaran terbuka menjanjikan pengalaman mendengar muzik yang unik di bawah langit malam Johor Bharu. Persembahan ini tidak hanya sekadar hiburan, tetapi turut menjadi bahan rujukan sejarah tentang fenomena kegemilangan muzik rock di Malaysia yang lebih dikenali dengan panggilan muzik rock kapak era 90-an. Tiket konsert ditawarkan pada harga purata RM120.00 dan boleh dibeli melalui pautan dalam talian yang disediakan oleh pihak penganjur.
"Lagu-lagu kumpulan Melissa sememangnya kekal relevan dan 'evergreen' sepanjang zaman. Oleh itu, kami berasa Melissa amat berbesar hati menjayakan konsert pertama kali sejak 35 tahun kumpulan ini ditubuhkan buat peminat-peminat muzik tanah air yang sudah pasti terdiri daripada semua lapisan masyarakat," kata jurucakap kumpulan tersebut. Dengan penampilan mantap daripada kumpulan rock yang telah mencorakkan lanskap muzik rock Malaysia selama 35 tahun, konsert ini dijangka menjadi salah satu acara muzik terbesar di selatan tanah air pada tahun 2025.
Comments
Post a Comment