KUGIRAN MASDO RAIKAN 10 TAHUN DALAM INDUSTRI MUZIK DENGAN PENGUMUMAN KONSERT BESAR

 


Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 02 MEI 2025- KUALA LUMPUR, 1 MEI 2025 - Kugiran retro moden kesayangan ramai, MASDO, telah mengadakan majlis istimewa bagi meraikan ulang tahun ke-10 perjalanan seni mereka dalam industri muzik tanah air. Bertajuk "Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap", majlis yang berlangsung pada 30 April 2025 di Saloma, Kuala Lumpur ini telah menghimpunkan lebih 200 peminat setia dan wakil media dalam suasana yang meriah.

Sebelum acara berlangsung, peminat MASDO telah dibuat tertanya-tanya apabila ahli kumpulan Ali Sariah, Asmawi, dan Putu Ceri memuat naik hantaran berbentuk kriptik di Instagram mereka, memberikan bayangan akan berlakunya pengumuman besar. Teka-teki ini akhirnya terjawab pada malam perjumpaan rahsia tersebut.

Sebagai penghargaan kepada para peminat, MASDO telah mempersembahkan mini showcase eksklusif secara langsung yang mengimbau kenangan lagu-lagu popular mereka. Antara lagu yang dipersembahkan termasuk "Dinda", "Lautan Asmara", "Janji Manis", "Bunga" dan "Berchanda di Malam Indah" yang berjaya menghidupkan suasana dan mengajak hadirin bernyanyi bersama.


Kemuncak malam tersebut adalah pengumuman konsert sempena ulang tahun ke-10 mereka yang dibuat dengan penuh simbolik. MASDO telah merungkai poster rasmi konsert mereka dengan menarik turun kain yang menutupi bangunan MATIC, diiringi dengan letupan bunga api yang memukau para hadirin. Konsert yang bertajuk 'Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun' akan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara, sebuah lokasi konsert terbaru di Malaysia.


MASDO melakar sejarah sebagai artis pertama yang mengumumkan konsert di lokasi baharu ini yang mampu memuatkan sehingga 7,000 penonton, menjanjikan pengalaman konsert yang lebih intim bersama para peminat. Konsert ulang tahun ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, sebuah penganjur berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang penganjuran dan pemasaran konsert tempatan serta antarabangsa.

Peminat boleh melakukan pra-pendaftaran bermula 30 April hingga 1 Mei untuk mendapatkan tiket Rockzone Early Bird berharga RM128. Bagi yang terlepas tempoh pra-pendaftaran, tiket masih boleh dibeli semasa jualan umum dengan harga Rockzone (Free Standing) pada kadar RM148 dan Cat 1 (Free Seating) pada kadar RM198.


Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group turut menyuarakan semangat beliau mengenai konsert ini. "Sebagai rakyat Malaysia yang bergiat dalam dunia hiburan dan muzik, kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong artis tempatan. Dengan pengalaman, bakat, dan legasi MASDO yang tidak pernah pudar sepanjang satu dekad ini, ulang tahun ke-10 mereka perlu diraikan dengan penuh meriah," katanya.

Beliau menambah, "Bagi kami, pengumuman besar ini perlu dimulakan dengan sesuatu yang benar-benar istimewa dan penuh kejutan, supaya perjalanan menuju hari konsert nanti menjadi lebih bermakna. Dengan sokongan padu daripada peminat setia mereka, kami yakin konsert ini bakal meraih sambutan luar biasa, bukan sahaja daripada peminat lama tetapi juga yang baharu."

Konsert 'Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun' ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sokongan daripada penganjur Hitman Solutions dengan kerjasama Warner Music. Rakan-rakan rasmi lain termasuk Kugiran Masdo Empire (Pengurusan Artis), Saloma Kuala Lumpur (Venue Rasmi), ERA, Sinar & Gegar (Radio Rasmi), dan Astro Gempak (Media Rasmi).

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert dan pembelian tiket yang akan diumumkan tidak lama lagi, orang ramai boleh mengikuti akaun rasmi MASDO (@kugiranmasdo) dan Hitman Solutions (@hitmansolutions) di media sosial, atau menghubungi pihak penganjur di talian +6012-265 5783 atau emel concerts@hitman.group.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan