Latihan Pestapora Malaysia Umum 'Lineup' Fasa Satu Dengan Gabungan Artis Indonesia Dan Malaysia
Oleh: Eqmal Ezad.
KUALA LUMPUR 09 MEI 2025- Festival musik Latihan Pestapora Malaysia telah mengumumkan barisan artis fasa pertama yang akan membuat persembahan pada 26 Julai 2025 di Kuala Lumpur. Pengumuman ini dibuat secara rasmi melalui sidang media khas yang berlangsung di The Campus Ampang dengan kehadiran artis-artis dan pihak penganjur.
Hitman Solutions selaku penganjur konsert terulung di Malaysia telah bekerjasama dengan Boss Creator, penganjur Pestapora dari Indonesia untuk membawa gabungan artis dari kedua-dua negara. Artis-artis Indonesia yang akan beraksi termasuk .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas. Manakala artis-artis Malaysia yang akan turut memeriahkan acara tersebut termasuk Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.
Menurut Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group, setiap tahun ribuan peminat Pestapora dari Malaysia akan ke Jakarta untuk menghadiri festival tersebut, justeru mereka ingin membawa pengalaman yang sama kepada rakyat Malaysia. Lebih menakjubkan, lebih 2,000 tiket telah terjual walaupun sebelum pengumuman barisan artis, membuktikan populariti jenama Pestapora di kalangan peminat muzik tempatan.
Latihan Pestapora Malaysia bukan sekadar persembahan pentas biasa tetapi juga platform untuk kolaborasi budaya Nusantara yang diraikan melalui muzik. Festival ini turut memberi peluang kepada peminat untuk merasai 'preview' kepada edisi utama Pestapora yang akan berlangsung di Jakarta pada September nanti, dengan menawarkan pelbagai genre muzik seperti pop, rock, alternatif, hip-hop hingga ke indie.
Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan Pengasas bersama Boss Creator, berkongsi bahawa Latihan Pestapora kali ini adalah percubaan baharu untuk melebarkan sayap ke Malaysia kerana mereka melihat potensi besar Pestapora di negara ini. Beliau berharap festival ini dapat menjadi fasilitator bagi para penggiat seni dan komuniti dari kedua-dua negara untuk saling memperkenalkan dan menonjolkan karya masing-masing kepada para peminat.
Tiket untuk Latihan Pestapora Malaysia boleh dibeli melalui laman web www.latihanpestaporamalaysia.com dengan kategori General Admission bermula dari RM129, Rockzone bermula dari RM199, Kanak-kanak pada harga RM70, dan Akses Express Lane dengan tambahan RM100. Festival ini disokong oleh pelbagai rakan rasmi termasuk ERA FM, HITZ FM, SINAR FM, World of Buzz, Batik Air, Sunway Putra Hotel, Universal Music Malaysia dan lain-lain.
Comments
Post a Comment