ROCKETFUEL ENTERTAINMENT CIPTA FENOMENA DENGAN TIGA LAGU RAYA HEBAT TAHUN 2025
Oleh: Norazni Ismail.
KUALA LUMPUR 02 MEI 2025- Rocketfuel Entertainment telah mencapai kejayaan luar biasa sempena Ramadan dan Aidilfitri 2025 dengan pelancaran tiga lagu Raya yang mencipta fenomena tersendiri. Lagu-lagu tersebut, iaitu "Meriah Lain Macam" yang dinyanyikan oleh Hael Husaini dan Nadeera, "Nyam Nyam Ketupat" oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan MissAlvy, serta "Dam Dim Dum Raya" oleh Nadeera, telah berjaya mengumpulkan lebih 1.7 bilion strim dan tontonan secara kolektif di YouTube dan platform digital lain.
Lagu "Meriah Lain Macam" telah menduduki tangga pertama di pelbagai carta, termasuk Carta RIM (Lagu Melayu) yang kini dikenali sebagai Official Malaysia Chart, Billboard Malaysia, YouTube Music Malaysia dan YouTube Music Brunei. Lagu ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh ini telah mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube dan tersenarai sebagai "trending" nombor satu di YouTube selama 33 hari berturut-turut. Lagu ini menggambarkan keterujaan pasangan suami-isteri membuat persiapan pulang ke kampung untuk beraya.
Hael Husaini menyatakan rasa terharu dengan sambutan luar biasa terhadap lagu tersebut. Beliau mengatakan bahawa niat mereka hanya untuk menyampaikan kemeriahan, rasa gembira dan semangat Raya yang semua rindukan, tetapi sambutan yang diterima benar-benar di luar jangkaan beliau.
Sementara itu, lagu "Nyam Nyam Ketupat" yang dinyanyikan oleh Zizan Razak, Wani Kayrie, Dinda Dania dan Miss Alvy telah meraih hampir 8 juta tontonan di YouTube dan mencapai kedudukan ketiga dalam kategori "Most Streamed Malay Singles In Malaysia". Lagu yang dianggap "cute" dan "catchy" ini juga memperkenalkan tarian unik yang menjadi tular di media sosial. Menariknya, bintang sukan badminton dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris, Victor Axelsen, turut menggunakan "Nyam Nyam Ketupat" sebagai lagu latar dalam salah satu hantaran di akaun TikToknya ketika sesi latihan di Kelab Badminton Gentofte, Denmark.
Wani Kayrie turut berkongsi kegembiraannya dengan sambutan luar biasa terhadap lagu tersebut. Beliau tidak menyangka lagu yang dirakam dengan penuh keceriaan dan semangat Raya itu mampu mencuri hati jutaan pendengar.
Nadeera juga tidak ketinggalan dengan lagu solonya, "Dam Dim Dum Raya", yang meraih lebih 800,000 tontonan di YouTube. Beliau menyatakan rasa syukur dengan sambutan yang diberikan terhadap lagu tersebut yang merupakan lagu Raya solo pertama beliau.
Melihat kepada sambutan hangat terhadap projek Raya 2025 ini, Rocketfuel Entertainment bertekad untuk terus mempersembahkan karya-karya berkualiti dan segar kepada penonton dan pendengar. Atas permintaan ramai, single "Bukan Lagi Kita" nyanyian Nadeera versi AJL, dan juga lagu "Diam" nyanyian Hael Husaini versi AJL kini tersedia untuk distrim bermula 1 Mei 2025 di semua pelantar digital utama.
Comments
Post a Comment