AIM24 Lancar Era Baharu - Ganjaran Berganda, Kategori Istimewa, Pengiktirafan Berterusan"
Oleh: Eqmal Ezad.
KUALA LUMPUR 06 JUN 2025- Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan kembalinya Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) selepas tiga tahun tidak dianjurkan, dengan acara berprestij ini dijadualkan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 13 September 2025. Acara yang akan disiarkan secara langsung oleh RTM sebagai penyiar rasmi ini menandakan kemunculan semula platform pengiktirafan muzik paling lama bertapak di Malaysia sejak 1993, dengan penambahan tiga kategori baharu yang mencerminkan kepelbagaian landskap muzik tempatan.
Kategori baharu yang diperkenalkan merangkumi Lagu Perpaduan Terbaik yang mengiktiraf karya memupuk nilai perpaduan dan keharmonian antara kaum, Lagu Tradisional Terbaik bagi menghargai ciptaan berakar umbi warisan muzik tradisional Malaysia, serta Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik yang menonjolkan kerjasama rentas negara. Penambahan ini menunjukkan komitmen AIM dalam menjunjung prinsip kepelbagaian, warisan budaya dan pengiktirafan antarabangsa untuk industri muzik Malaysia.
Sokongan kerajaan terhadap industri muzik turut meningkat dengan ketara apabila Kementerian Komunikasi Malaysia memperuntukkan RM700,000 melalui program Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah MyCreative Ventures kepada sebelas pemenang kategori AIM24. Jumlah ini adalah lebih dua kali ganda berbanding RM320,000 yang diberikan kepada empat pemenang pada AIM23, dengan dana disalurkan melalui syarikat rakaman pemenang bagi memaksimumkan impak ekonomi dalam ekosistem industri muzik.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim menyatakan penghargaan terhadap perluasan sokongan kerajaan yang bukan sahaja menyuburkan bakat tempatan, malah memperkasakan kandungan digital Malaysia untuk pasaran tempatan dan global. Beliau turut menyambut baik kerjasama pertama dengan RTM sebagai penyiar rasmi, manakala Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman menegaskan komitmen penyiar nasional dalam menyokong bakat tempatan dan mengangkat kandungan tempatan ke platform yang lebih luas.
![]() |
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim ketika menyampaikan ucapan. |
Pencalonan AIM24 dibuka kepada lagu dan album dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Cina dan India yang diterbitkan antara 1 Julai 2022 hingga 31 Disember 2024, dengan tempoh penyerahan dari 4 Jun hingga 4 Julai 2025 melalui laman web aim1.org.my. Sebanyak 31 kategori anugerah menanti para peserta termasuk kategori utama seperti Artis Baru Terbaik, Vokal Lelaki dan Wanita Terbaik, serta kategori pra-anugerah yang merangkumi aspek teknikal dan digital seperti lagu paling tinggi di strim dan video muzik paling tinggi ditonton di YouTube, dengan pengumuman lima calon akhir dijangka pada Ogos 2025.
Comments
Post a Comment