Dari Sepang Untuk Dunia: 21 Artis Tempatan Siap Rock AMK 2025


Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR, 06 JUN 2025 – Festival Aku. Muzik & Kamu (AMK) bakal menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang pada 26 dan 27 Julai 2025 dengan semangat yang lebih membara melalui AMK Indie 2025. Kali ini, festival yang dinanti-nantikan peminat muzik indie, rock dan ska ini tampil dengan kebanggaan tersendiri iaitu lineup 100% tempatan yang menghimpunkan 21 kumpulan muzik paling ikonik dan bakat baharu Malaysia.

Festival dua hari ini bukan sekadar konsert biasa, tetapi perhimpunan terbesar yang meraikan genre indie yang telah membentuk identiti, semangat dan komuniti muzik alternatif tanah air. Barisan artis yang bakal memukau penonton merangkumi daripada kumpulan irama klasik kultus hingga reunion jarang berlaku, serta suara-suara baru yang menyemarakkan semula semangat muzik alternatif Malaysia. Hari pertama pada 26 Julai akan menampilkan SYJ, Cromok, Monosterio, 6ixth Sense, Plague of Happiness, Metalasia, One Buck Short, Deja Voodoo Spells, SOG, PATRIOTS dan Aboi.

Manakala hari kedua pada 27 Julai pula akan membariskan Meet Uncle Hussain, Empty Page, Butterfingers, Hujan, Seven Collar T-Shirt, SalamMusik, Kyoto Protocol, Midnight Fusic, Gerhana Skacinta dan Monoloque. Sebahagian daripada band-band ini kembali ke pentas selepas bertahun menyepi, ada yang muncul semula setelah sekian lama dinanti peminat, dan ada juga yang tetap setia dalam arus muzik alternatif tempatan. David Bareng, Ketua Eksekutif Coaction Events yang menganjurkan festival ini bersama Westzone Entertainment menegaskan, "Festival ini untuk peminat sejati. Tiada artis antarabangsa, tiada nama tangkap muat. Hanya bakat tempatan sepenuhnya."

Keistimewaan AMK Indie 2025 terletak pada komitmennya yang teguh terhadap muzik tempatan dengan segala-galanya berpaksikan identiti lokal. Daripada barisan artis hingga keseluruhan pengalaman festival, ia menyerlahkan bukan sahaja muzik, tetapi juga makanan, tenaga dan semangat kreatif yang membentuk budaya belia Malaysia. Dengan kapasiti 30,000 orang di Litar Antarabangsa Sepang, pelbagai zon tiket dan festival makanan yang dikurasi khas, AMK Indie 2025 menjanjikan pengalaman hujung minggu yang menghidupkan semula jiwa festival tempatan mengikut cara kita sendiri.

Dengan harga tiket bermula serendah RM159, AMK Indie 2025 merupakan antara festival muzik paling mampu milik tahun ini yang membolehkan peminat menikmati persembahan legenda, makanan tempatan asli dan suasana tidak dapat dilupakan selama dua hari penuh di bawah langit terbuka Sepang. Sama ada untuk menghidupkan semula kenangan muzik zaman remaja atau baru mula menyelami dunia muzik tempatan, AMK Indie 2025 adalah festival wajib hadir yang pasti akan menjadi bualan ramai selepas ini.

https://shop.ilassotickets.com.my/eventdetails.aspx?eid=ZPpB7n8HA4E=&reflink=mewaheventmgmt

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan