DJ Veteran Isma Halil Hamzah Kongsi Pengalaman Hidup Selepas Bebas.



Oleh: Papadin.

KUALA LUMPUR 22 JUN 2025 - DJ veteran Isma Halil yang telah berkhidmat dalam industri penyiaran selama 31 tahun berkongsi pengalaman hidupnya selepas menjalani hukuman penjara selama dua tahun. Dalam satu sesi temubual di Warung BapakKu FM yang juga merupakan studio radionya, beliau mengakui bahawa tempoh di penjara itu merupakan "rehat" yang diberikan Allah untuk merenung kembali perjalanan hidupnya.

Semasa di penjara, Isma mengkhatamkan Al-Quran sebanyak tiga kali dan membaca buku "Bertemu Janji Allah" yang menjadi sumber kekuatan rohaninya. Beliau berjanji kepada Allah untuk membacakan satu hadis dalam setiap siaran radio sebagai tanda syukur sekiranya dibebaskan. "Bila saya lama-lama mengadu dengan Allah, barulah Allah bagi saya faham kenapa Allah buat macam tu. Sampai akhirnya saya cakap ya Allah, terima kasih masukkan aku dalam penjara, aku redha," katanya sambil menyifatkan pengalaman itu sebagai detik untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Kini, Isma memfokuskan tenaganya untuk menjalankan Radio BapakKu FM yang telah beroperasi selama 12 tahun, lengkap dengan Kelab My Friend yang mempunyai lebih 2,000 ahli berdaftar. Rumah kelab yang juga berfungsi sebagai studio radio itu dilengkapi dengan kemudahan penginapan, dapur, pentas dan sistem bunyi untuk pelbagai aktiviti termasuk majlis perkahwinan. Beliau juga merancang untuk membuka Akademi Pengacara dan Penyampai dengan kursus tiga hari dua malam yang terhad kepada 20 peserta bagi memastikan keberkesanan latihan.

Mengenai industri hiburan Malaysia, Isma berpandangan bahawa zaman kegemilangan konsert besar-besaran sudah berlalu dan artis perlu menyesuaikan diri dengan realiti semasa. Walaupun tidak lagi aktif sebagai pengacara konsert besar, beliau tetap menyokong rakan-rakan dalam industri dan memilih untuk tidak mengkritik perpecahan yang berlaku dalam kumpulan muzik tempatan.

"Saya sayang kawan-kawan saya, saya tak nak memburukkan orang industri Malaysia ni kecil, kita kena saling menyokong," ujarnya sambil menegaskan komitmennya untuk terus berkarya melalui platform radionya sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA