ELITE Kembali Gemparkan Pentas Selepas Dua Dekad


Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 23 JUN 2025- Sejarah baharu bakal tercipta dalam industri muzik tempatan apabila girl band legendaris ELITE yang dianggotai Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza mengumumkan konsert berskala besar pertama mereka selepas dua dekad. Konsert bertajuk ELITE LIVE '25 akan berlangsung di Plenary Hall Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 September 2025, menandakan ulang tahun ke-30 keberadaan mereka dalam industri hiburan tanah air. Kemunculan mengejut mereka di Konsert genKRU di Axiata Arena baru-baru ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dan dihujani pertanyaan mengenai masa depan kumpulan ini.

Icon Entertainment, penganjur yang terkenal dengan rekod cemerlang dalam menganjurkan konsert-konsert besar, kini mengukuhkan lagi kredibiliti mereka dengan berjaya membawa ELITE kembali ke pentas. Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang menegaskan bahawa penganjuran ELITE LIVE '25 bukanlah sekadar mengikut trend konsert yang sedang popular, tetapi melihat kepada relevan dan kepentingan kumpulan ini dalam industri muzik tempatan. Beliau menyifatkan projek ini sebagai momen bersejarah yang telah melalui fasa penelitian, perancangan dan perlaksanaan yang teliti, mengambil kira karya-karya hebat ELITE pada era 90-an yang masih menjadi kegemaran ramai hingga kini.

 Iman Tang Pengasas (Icon Entertainment) ketika menjawab soalan media.

Bagi ELITE sendiri, keputusan untuk kembali ke pentas besar merupakan satu langkah berani yang dipenuhi dengan perasaan bercampur baur. Linda Rafar yang mewakili kumpulan mengakui bahawa mereka agak gusar memandangkan sudah lama tidak melakukan persembahan pentas dalam skala besar, apatah lagi kelima-lima ahli sudah mempunyai kehidupan masing-masing. Walau bagaimanapun, mereka akhirnya bersetuju untuk menerima lamaran Icon Entertainment dengan mengambil kira bahawa karya-karya mereka seperti 'Trauma', 'Tamparan Wanita', 'Manisnya Senyumanmu', 'Sesuatu Di Dalam Dirimu' dan 'G.I.G' masih digemari dan relevan untuk dikongsi bersama peminat lama mahupun generasi baharu.

Peminat yang ingin menjadi saksi kepada sejarah ini boleh membeli tiket menerusi www.ticket2u.com.my/elite bermula Khamis, 26 Jun 2025 pada pukul 2 petang. Tiket ditawarkan dalam empat kategori iaitu GIG (RM1,088 termasuk Meet & Greet dan refreshment), MANISNYA SENYUMANMU (RM588), CATWALK (RM268), dan TAMPARAN WANITA (RM268). Konsert ini dijangka akan menjadi peristiwa bersejarah yang membolehkan peminat menikmati hits-hits popular ELITE secara langsung untuk pertama kalinya dalam dua dekad, membuktikan bahawa fenomena yang dicipta oleh girl band ini sejak 1996 masih berterusan hingga kini.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

Wak Dan Lebih Selesa Bergerak Solo

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA