Lagu 'Basstamam' Viral di TikTok Sebelum Launch - Syed Iqbal & Masyhur Curi Perhatian



Oleh: Norazni Ismail.

KUALA LUMPUR 13 JUN 2025- Penyanyi Syed Iqbal telah menandatangani kontrak secara rasmi dengan label berteras keislaman Masyhur, milik Universal Music Malaysia dalam langkah strategik untuk meluaskan jangkauan muzik dan kerjayanya. Pengumuman ini dibuat di Kuala Lumpur semalam, bersamaan dengan pelancaran lagu terbarunya yang berjudul "Basstamam" yang kini tersedia di semua platform penstriman digital sejak 30 Mei 2025. Lagu yang mengangkat tema ketenangan dan kebahagiaan dalam menghadapi tekanan hidup ini dicipta oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik hasil nukilan Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh yang membawa nafas segar sarat emosi menyentuh jiwa.

"Basstamam" menyampaikan mesej murni tentang menenangkan insan tersayang sama ada sahabat, keluarga atau kekasih untuk menikmati hidup tanpa terbeban dengan tekanan dan masalah. Syed Iqbal berkongsi bahawa proses rakaman berjalan dengan lancar dan menyeronokkan walaupun pada awalnya timbul sedikit rasa bimbang. "Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira. Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini," ujarnya penuh teruja. Lagu yang disusun indah oleh Wan Saleh dan diterbitkan bersama oleh Amir Hufaz ini mengetengahkan susunan muzik yang tenang dan meresap ke jiwa, sesuai untuk dinikmati sewaktu bersantai atau merenung makna kehidupan.

Penggambaran video muzik "Basstamam" turut menjalani proses yang mencabar namun penuh semangat dengan krew yang perlu mendaki bukit dan menjalankan penggambaran dari pagi hingga petang. "Kami perlu panjat bukit dan shooting dari pagi sampai ke petang. Tapi dengan pasukan yang sangat supportive, saya berasa sangat bersemangat untuk menjayakan MV ini," kata Syed Iqbal yang menghargai komitmen dan dedikasi seluruh pasukan kreatif yang terlibat. Beliau berharap para pendengar dapat benar-benar menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa 'basstamam' dalam hati kerana semua orang memerlukan ketenangan dan lagu ini diharap menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang diuji.

Kejayaan awal "Basstamam" telah terbukti dengan pencapaian lebih 20,000 ciptaan di TikTok dan lebih 2,000 ciptaan di Instagram, malah para peminat secara organik telah mencipta trend yang dinamakan 'Wahai Bulan Purnama' di mana orang ramai menunjukkan transformasi diri mereka yang dahulu dan bagaimana mereka telah berubah menjadi lebih baik. Video muzik rasmi boleh ditonton di YouTube Masyhur, manakala lagu ini dijangka mendapat tempat di hati pendengar dari pelbagai latar belakang dengan mesej yang mendamaikan dan susunan muzik yang menyentuh perasaan. "Harapan saya agar lagu ini tersebar luas dan membawa mesej positif kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya," tambah Syed Iqbal.

Comments

Popular posts from this blog

Majlis Anugerah Kejayaan KAL Venture: Melahirkan Jutawan Pantas Malaysia

NIDJI MENGUMUMKAN KONSERT SOLO PERTAMA DI MALAYSIA

ILBAI Failkan Saman Terhadap "The High Table" & "Unboxing" Atas Tuduhan Menjual Barangan Mewah Tiruan