Lebih 4,000 Pelajar SPM Berebut Tips Skor A+ dalam Road Tour PTTI
Oleh: Norazni Ismail.
SHAH ALAM 04 JUN 2025- Pusat tuisyen terkenal PTTI sekali lagi mencatat sejarah cemerlang apabila berjaya menghimpunkan lebih 4,000 pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dalam program Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI Selangor yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam. Program yang menjadi antara seminar akademik terbesar anjuran PTTI itu menyaksikan kehadiran luar biasa pelajar dari seluruh negara, dengan lebih 3,000 daripadanya adalah pelajar dari negeri Selangor sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman menyatakan pencapaian kali ini bukan sahaja membanggakan pihaknya, malah menjadi indikator positif terhadap kesungguhan pelajar dalam mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan penting tersebut. Beliau menjelaskan bahawa ini adalah seminar tradisi mereka yang dinamakan Road Tour Score A Plus SPM, di mana pelajar yang hadir adalah dalam kalangan calon SPM tahun ini dari seluruh negara. Pencapaian mengumpulkan lebih 4,000 pelajar ini menandakan satu perkembangan positif kerana menunjukkan minat yang tinggi pelajar untuk datang belajar, walaupun silibus pembelajaran kini tidak mudah.
Pendekatan PTTI dalam program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada teknik menjawab soalan, malah fokus turut diberikan kepada subjek kritikal seperti Sains Tulen dan Matematik dengan menyediakan teknik khusus yang dapat membantu para pelajar mencapai keputusan cemerlang. Sejak ditubuhkan, PTTI terus menjadi antara institusi yang diyakini ibu bapa dan pelajar dalam memberi bimbingan akademik yang konsisten dan berkesan. Menerusi pengalaman selama lebih sedekad, PTTI telah mencorakkan kejayaan ribuan pelajar dengan melahirkan lebih 800,000 pelajar yang cemerlang, dan tahun ini sahaja seramai 400 pelajar SPM 2024 berjaya meraih keputusan 'straight A'.
Acara istimewa ini mendapat suntikan semangat luar biasa dengan kehadiran Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan selebriti terkenal Bella Astillah yang tampil memberikan kata-kata motivasi dan pengalaman hidup mereka sebagai inspirasi buat para pelajar. Antara personaliti terkenal yang turut hadir termasuklah MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah dan Asyraf Khalid yang turut menyemarakkan lagi program tersebut.
Dalam masa yang sama, PTTI turut mencatat kejayaan berganda apabila berjaya merangkul dua rekod Malaysia Book of Records (MBOR) iaitu Most Straight A's in a Tuition apabila 400 pelajar PTTI memperoleh semua A serta Most SPM Grade A's Obtained by a Tuition dengan 18,432 gred A dikumpulkan oleh pelajar PTTI. Program seminar seperti ini menjadi platform penting bagi membina keyakinan pelajar, selain memberi pendedahan awal terhadap strategi pembelajaran yang lebih efektif menjelang peperiksaan sebenar SPM tahun ini.
Comments
Post a Comment