Nostalgia P. Ramlee Bakal Memenuhi KL Dengan Alunan Klasik
Oleh: Norazni Ismail.
KUALAL LUMPUR 18 JUN 2025- Syarikat produksi tempatan Tanahair Films Sdn. Bhd. hari ini mengumumkan penganjuran Konsert Legasi P. Ramlee yang dijangka bakal menjadi acara seni paling sensasi pada tahun ini. Konsert yang bakal berlangsung pada 20 September 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur ini adalah sebahagian daripada Projek Perdana P. Ramlee yang diilhamkan sebagai penghormatan kepada seniman agung negara. Dalam sidang media yang berlangsung di Kompleks Studio Merdeka FINAS hari ini, pengasas Tanahair Films iaitu Dato' Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie memperkenalkan barisan artis dan maestro muzik terkemuka yang bakal menjayakan konsert bersejarah ini.
![]() |
Adlin Aman Ramlie sekalu Pengarah Artistik konsert ketika menyampaikan ucapan. |
Konsert ini menjanjikan pengalaman persembahan yang unik dengan menggabungkan konsep klasik, kontemporari dan popular dalam gaya teatrikal, dramatik dan sinematik. Empat maestro muzik terkemuka tanah air iaitu Dato' Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen akan mengemudi kekuatan 60 pemuzik orkestra untuk menghidupkan lebih 30 karya agung P. Ramlee. Persembahan akan dipersembahkan secara medley, duet mahupun solo dengan susunan muzik baharu yang lebih terkini namun tetap menghormati keaslian karya asal.
Gandingan ikon legenda dan bintang terkini akan menjadi tarikan utama konsert ini dengan kehadiran Dato' Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, MimiFly, Nadeera dan Liza Hanim yang bakal mengekspresikan penghargaan mereka kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee melalui gaya persembahan yang tersendiri. Sebagai persembahan istimewa, tiga impersonator terbaik negara iaitu P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee akan membawa penonton menyusuri era klasik yang penuh nostalgia menerusi interpretasi yang menggabungkan keaslian suara dan gaya P. Ramlee dalam nuansa kontemporari.
Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato' Khairul Anwar Salleh menegaskan bahawa seni yang agung tidak seharusnya dibiarkan sepi sebagai warisan yang terlupakan, sebaliknya perlu dihidupkan kembali dengan nafas baru dan pendekatan segar agar karya-karya Tan Sri P. Ramli terus bernafas melalui suara, irama dan jiwa generasi baru, memastikan legasi seni beliau kekal hidup bukan hanya sebagai kenangan tetapi sebagai inspirasi berterusan.
![]() |
Ketua Pegawai Eksekutif Tanahair Films, Dato' Khairul Anwar Salleh ketika menyampaikan ucapan. |
Tiket konsert ini akan mula dijual pada 26 Jun 2025 melalui www.ticket2u.com.my manakala maklumat lanjut boleh diikuti melalui akaun media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms dan @legasipodcast.
Comments
Post a Comment