Penggiat Industri Kreatif Sokong Garis Panduan Hak Cipta MyIPO 2025, Bantah Tindakan Mahkamah Badan Kutipan Royalti
Oleh: Papadin.
KUALA LUMPUR 30 JUN 2025- Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) telah menerbitkan Garis Panduan Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 pada 17 Januari lalu sebagai langkah pembaharuan yang telah lama dinantikan oleh para penggiat industri kreatif. Garis panduan ini lahir berikutan aduan berterusan daripada penggiat muzik dan pengguna karya, serta hasil sesi libat urus bersama pemegang hak yang menyuarakan keperluan mendesak untuk lebih ketelusan dan tadbir urus yang baik dalam sistem kutipan royalti di Malaysia. Berdasarkan kuasa yang diberikan melalui Seksyen 27M Akta Hak Cipta 1987 Pindaan 2022, Pengawal Hak Cipta kini mempunyai autoriti untuk mengeluarkan garis panduan yang wajib dipatuhi oleh semua Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO).
Garis panduan baharu ini membawa perubahan signifikan yang melindungi hak lebih kurang 8,000 pemegang hak di Malaysia, tidak kira tahap populariti mereka. Antara pembaharuan utama adalah kewajipan CMO untuk lebih telus dalam urusan kutipan dan pengagihan royalti, membolehkan para pemegang hak mengetahui dengan jelas bagaimana royalti dikutip, dibahagi dan siapa yang menerimanya. Garis panduan ini juga memperkukuh sistem tadbir urus dalam organisasi dengan memastikan setiap ahli diberi hak suara yang adil dalam mesyuarat agung dan pemilihan lembaga, menghapuskan sistem pengundian yang berat sebelah dan memperkenalkan mekanisme aduan yang jelas bagi ahli yang tidak berpuas hati.
Para penulis lagu, komposer, penyanyi dan pemuzik menyambut baik inisiatif ini kerana ia menangani masalah lama yang menghantui industri muzik tempatan, termasuklah isu agihan royalti yang tidak adil antara pelaku dan pemilik bunyi rakaman yang masih jauh daripada nisbah 50:50 yang sepatutnya mengikut piawaian antarabangsa WIPO Performers And Phonograms Treaty 1996. Garis panduan ini juga melindungi kepentingan para pengguna karya muzik yang menjadi pembayar lesen dan sumber pendapatan utama para pencipta muzik, sekali gus memperkukuh semangat pemerkasaan harta intelek di Malaysia.
Walau bagaimanapun, usaha pembaharuan ini kini menghadapi halangan apabila badan kutipan royalti tertentu mengambil tindakan mahkamah untuk menghalang perlaksanaan Garis Panduan MyIPO. Para penggiat industri kreatif membantah dengan sekeras-kerasnya tindakan ini yang dilihat sebagai percubaan untuk mengekalkan status quo yang tidak telus dan merugikan pemegang hak. Mereka menegaskan bahawa garis panduan ini merupakan langkah berterusan yang perlu dalam memperkukuh kedudukan pemegang hak dan memulihkan kepercayaan terhadap sistem kutipan royalti di Malaysia, sekaligus meletakkan hak pencipta sebagai keutamaan utama dalam industri kreatif negara.
Comments
Post a Comment