PTTI Sumbang RM100,000 untuk Pendidikan Anak Kurang Berkemampuan melalui YB Syed Saddiq
Oleh: Norazni Ismail.
SHAH ALAM 04 JUN 2025 - Pusat Tuisyen PTTI telah menyerahkan sumbangan tajaan sebanyak RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor yang diterima oleh Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Tajaan ini merupakan inisiatif murni untuk memperkukuhkan komitmen terhadap pembangunan pendidikan negara dan akan digunakan khusus bagi membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan di Muar dalam persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi tajaan tersebut, pelajar-pelajar terpilih akan menerima bantuan pendidikan termasuk akses kepada kelas tuisyen dalam talian kendalian PTTI serta kemudahan pembelajaran lain. Syed Saddiq menyifatkan tajaan ini sebagai satu bentuk pelaburan besar dalam masa depan anak-anak Malaysia, khususnya daripada golongan keluarga berpendapatan rendah. Beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Cikgu Farhana dan pasukan PTTI atas sumbangan yang sangat besar, sambil menekankan bahawa pendidikan merupakan keutamaan anak-anak dan bukan semua mempunyai kesempatan atau kemampuan untuk mendapat akses kepada kelas tuisyen berkualiti.
Dalam satu gerak balas yang mengharukan, Syed Saddiq mengumumkan bahawa daripada jumlah keseluruhan tajaan itu, sebanyak RM20,000 yang disalurkan secara langsung kepadanya akan disumbangkan sepenuhnya semula kepada pelajar melalui pembelian komputer riba dan tablet yang akan diserahkan menjelang Hari Raya Aidiladha ini. Tindakan ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM120,000, membuktikan komitmen bersama dalam memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua tanpa mengira latar belakang keluarga.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau Cikgu Farhana, berkongsi komitmen organisasi tersebut dalam mendekati pelajar yang memerlukan sokongan akademik, terutama dalam subjek-subjek kritikal. Beliau menekankan bahawa pengalaman lebih 10 tahun memimpin PTTI telah membolehkan mereka membantu lebih 800,000 pelajar, termasuk 400 pelajar yang berjaya mendapat straight A pada SPM 2024 yang lalu. PTTI percaya dengan teknik dan formula mereka, lebih ramai pelajar dapat dibantu untuk cemerlang, terutamanya dalam subjek Sains Tulen seperti Matematik, Fizik dan Kimia yang diketahui amat mencabar.
Pengumuman ini dibuat ketika Syed Saddiq ditemui pada majlis Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang diadakan di IDCC Shah Alam hari ini, yang menyaksikan kehadiran hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara. Program khas yang direka untuk membakar semangat calon SPM ini turut mendapat suntikan semangat luar biasa dengan kehadiran Syed Saddiq dan Bella Astillah yang tampil memberikan kata-kata motivasi, disamping personaliti terkenal lain termasuklah MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah dan Asyraf Khalid yang hadir memberikan inspirasi kepada para pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM.
Comments
Post a Comment